SHAH ALAM: “Saya malas hendak cerita pasal politik.”
Demikian jawapan ringkas Pengerusi Perhubungan UMNO dan Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar terhadap kenyataan Pengerusi Ahli Majlis Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC), Datuk Seri Shahidan Kassim berhubung pemberian jawatan oleh kerajaan kepada wakil rakyat UMNO.
Beliau juga enggan mengulas dakwaan wujud pertemuan melibatkan 28 orang ahli Parlimen BN dengan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Jalan Bellamy, Kuala Lumpur malam semalam.
Sebaliknya, ahli Parlimen Tanjong Karang itu menegaskan, dalam situasi sekarang, semua pemimpin tanpa mengira parti politik sepatutnya bekerjasama menyelesaikan dahulu masalah pandemik Covid-19.
“Saya malas hendak cerita pasal politik, siapa yang buat kenyataan kena tanya dia sendiri. Saya tak mahu komen. Ini adalah masa yang tidak sesuai untuk bercakap soal politik sebab fokus sepatutnya adalah bagaimana hendak mengatasi masalah Covid-19.
“Musuh (Covid-19) tak pilih politik, orang politik pula tak patut pilih berpolitik dalam waktu ini. Macam di Tanjong Karang saya hendak pastikan berapa ramai penduduk di sini akan dapat vaksin, itu kita punya sasaran,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam. -UTUSAN