TEMERLOH: Operasi ‘Op Patuh’ di empat kilang di daerah ini dijadikan indikator tahap pematuhan pengurusan syarikat dan pekerja terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Ketua Polis Temerloh, Asisten Komisioner Mohd. Azhar Mohd. Yusoff berkata, ini kerana sektor perkilangan sering diperkatakan sebagai tempat ramai positif Covid-19.
Bagaimanapun ujarnya, operasi di kilang itu merumuskan pematuhan SOP MKN dipatuhi dengan baik dengan sedikit teguran penambahbaikan.
“Dalam operasi di sebuah kilang kitar semula kertas di Mentakab mendapati semua pekerja dan pengurusan kilang telah mematuhi SOP yang dikehendaki.
“Premis tersebut turut memiliki kebenaran beroperasi daripada Kementerian Perdagangan, Antarabangsa dan Industri (MITI),” katanya kepada pemberita selepas operasi tersebut di sini hari ini.
Op Patuh bersepadu itu membabitkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh bersama agensi seperti Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Temerloh dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Mohd. Azhar menambah, teguran kepada pengurus kilang supaya kod QR MySejahtera dipamerkan di setiap unit beserta pencuci tangan bukan hanya diletakkan di pintu masuk utama sahaja.
Tambah beliau, pemeriksaan secara rawak terhadap pekerja di kilang di situ, semuanya memiliki aplikasi MySejahtera dan dikemaskini serta sentiasa menjaga penjarakan fizikal ketika bekerja dan mematuhi kehadiran jumlah pekerja iaitu tidak lebih 60 peratus.
Dalam pada itu, katanya, pemeriksaan akan dilakukan secara berterusan dan mereka yang dikesan melakukan kesalahan, tindakan akan diambil di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) Seksyen 7 (1).
Sementara itu beliau berkata, kira-kira 40,000 penduduk di Taman Rimba, Taman Saga, Taman Saga Indah dan Taman Sri Layang, Mentakab terbabit dengan Perintah kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
“Setakat ini keadaan terkawal dan ujian saringan Covid-19 telah dijalankan secara bersasar mengikut prosedur di kawasan dikenakan PKPD,” katanya.
Beliau berkata, secara keseluruhannya kadar pematuhan SOP yang membabitkan pelbagai pihak khususnya anggota masyarakat di daerah Temerloh telah mencapai tahap 96 peratus.
Menurutnya, setakat ini sebanyak 223 kompaun dikeluarkan sejak tahun lalu membabitkan kesalahan tidak memakai pelitup muka, tidak menjaga jarak, berkumpul dan tidak mengimbas kod QR MySejahtera ketika masuk ke sesuatu premis. – UTUSAN ONLINE