Eagle Range kibar bendera putih, solidariti nasib industri hotel - Utusan Malaysia

Eagle Range kibar bendera putih, solidariti nasib industri hotel

PEKERJA-pekerja Eagle Ranch Resort menunjukkan solidariti mereka di hadapan resort tersebut yang masih tidak beroperasi ekoran pelaksanaan PKP. – UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Tular di media sosial baru-baru ini satu video memaparkan sekumpulan pekerja Eagle Ranch Resort, dekat sini yang mengibarkan bendera putih di hadapan pintu masuk resort tersebut.

Ramai beranggapan resort tersebut akan ditutup operasi­nya memandangkan keadaan industri perhotelan termasuk di daerah ini yang terjejas ekoran ketiadaan pelawat yang datang menginap akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan larangan merentas negeri dan daerah.

Bagaimanapun, Pengurus Ope­rasi Eagle Ranch Resort, Greg Tee berkata, video tersebut hanyalah sebagai tanda solida­riti yang bertujuan menghantar mesej kepada orang awam dan pihak berwajib tentang keadaan industri hotel ketika ini.

Tambahnya, kibaran bendera putih itu juga bukan bermaksud resort yang terletak di Jalan Batu 14, Port Dickson itu akan ditutup operasi buat selamanya apatah lagi dengan tujuan mahu meminta bantuan makanan.

Jelasnya, idea menerbitkan video berkenaan diperoleh daripada salah seorang pekerja resort itu dan ia kemudian dimuat naik di Facebook resort berke­naan 9 Julai lalu.

“Saya tidak sangka video itu akan tular, kemudian banyak pihak yang menghubungi saya bertanyakan sama ada hotel hendak tutup atau sebaliknya. Bagaimanapun, kami tutup operasi sementara sahaja dan kami juga tidak memerlukan pertolongan makanan.

“Kami hanya mahu menyam­paikan mesej tentang keadaan industri perhotelan yang semakin parah disebabkan PKP ketika ini. Eagle Ranch Resort kini sedang diselenggara bagi persediaan menyambut kehadi­ran pelancong apabila sempa­dan daerah dan negeri dibuka kelak,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Tambah Greg, pihaknya juga tidak terkecuali berdepan situasi sukar sejak setahun lalu, malahan turut terpaksa mengambil langkah mengurangkan tenaga pekerjanya.

“Sebelum ini kami mempu­nyai 87 kakitangan dan pada empat bulan pertama sejak April tahun lalu, pihak resort membuat keputusan untuk mengekalkan gaji bersih semua kakitangannya.

“Bagaimanapun, memasuki bulan kelima, kami terpaksa memberikan pekerja cuti tanpa gaji bagi menampung hotel kos operasi resort,” katanya yang memberitahu resort tersebut kini hanya mempunyai 20 orang pekerja sahaja.

Dalam pada itu, jelasnya, pihak resort menyedari hanya dengan pemberian vaksin dan masyarakat mencapai imuniti kelompok sahaja yang dapat membolehkan hotel-hotel dan resort dapat beroperasi semula.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya