Dugaan suri rumah pesakit kanser, cabaran suami cari rezeki - Utusan Malaysia

Dugaan suri rumah pesakit kanser, cabaran suami cari rezeki

NUSRATINA Mohd. Saad ditemani Mohamad Safwan Abu Bakar dan anak-anak mereka di Kampung Keriang Pulau, Alor Setar, Kedah. - UTUSAN/MOHD. RAFIE AZIMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sebuah keluarga di Kampung Keriang Pulau di sini reda wanita yang menjadi tonggak kepada keluarga, kini sudah tidak lagi sekuat dulu akibat diuji dengan penyakit kanser darah atau limfoma sejak dua tahun lalu.

Menurut ibu kepada tiga anak, Nusratina Mohd. Saad, 34, dirinya sering kali merasa lemah dan lesu terutamanya sejak setahun lalu hingga menyebabkan dia tidak lagi boleh berjalan atau berdiri lama.

Keadaan itu katanya, menyebabkan suaminya, Mohamad Safwan Abu Bakar, 34, terpaksa berhenti bekerja sebagai penghantar ayam dengan upah RM45 sehari bagi menumpukan perhatian kepada dirinya selain tiga anak berusia antara 4 hingga 11 tahun.

“Saya pernah menjalani kemoterapi sebanyak enam kali pada 2019. Pada mulanya keadaan semakin baik namun sejak Julai tahun lalu, muka saya mulai membengkak dengan doktor mengesahkan sel kanser kian aktif.

“Keadaan itu menyebabkan suami terpaksa berhenti kerja bagi mengelakkan terikat dengan masa untuk memberi perhatian kepada keluarga,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Tambahnya, bagi menyara keluarga, suaminya kini mencari rezeki dengan bekerja sebagai penghantar makanan.

“Namun tempahannya tidaklah banyak. Selain perlu bersaing dengan penghantar makanan lain, tempoh masa bekerja juga terpaksa dihadkan demi memberi tumpuan kepada saya dan anak-anak,” katanya.

Menurutnya, mereka sekeluarga setakat ini ada menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM500 sebulan selain turut menerima sumbangan saudara-mara dan rakan untuk digunakan bagi membeli barang dapur.

“Namun tidak lama lagi saya perlu menjalani rawatan sebanyak 16 pusingan bagi memasukkan ubat brentuximaly setiap tiga minggu. Doktor menganggarkan kos rawatan itu boleh mencecah hingga RM50,000.

“Selain itu dalam tempoh dua minggu ini, saya perlu hadir ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) setiap hari selama dua minggu untuk pemeriksaan darah dan mengambil ubat-ubatan,” katanya.

Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menghubunginya di talian 017-5097819 atau menyumbang ke akaun Bank Islam miliknya, 02105020118160.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya