Dua pegawai atasan UMS dikenakan tindakan tata tertib - Utusan Malaysia

Dua pegawai atasan UMS dikenakan tindakan tata tertib

PETER ANTHONY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu, dua pegawai atasan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dikenakan tindakan tatatertib berhubung pengeluaran surat kontrak penyelenggaraan di universiti itu kepada syarikat milik Datuk Peter Anthony, tanpa kebenaran.

Surat bagi kontrak penyelenggaraan sistem mekanikal dan elektrikal (M&E) itu dikeluarkan dan diluluskan oleh Kementerian Kewangan walhal Naib Canselor UMS ketika itu, Profesor Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah tidak tahu menahu mengenainya.

Ekoran pengeluaran surat itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UMS, Profesor Dr. Shariff Abdul Kadir S. Omang terpaksa meletak jawatan manakala Pendaftar UMS, Lt. Kol (K) Datuk Abdullah Mohd. Said dipindahkan ke anak syarikat milik UMS, Ulink Property Sdn. Bhd.

Semalam, mahkamah diberitahu kontrak berkenaan tidak diberikan kepada Syarikat Asli Jati Engineering Sdn. Bhd (Asli Jati) milik Peter sebaliknya diberi kepada REMT Utama Sdn. Bhd. (REMT) melalui tender terbuka.

Bagaimanapun, satu surat lain bertarikh 9 Jun 2014 kemudian dikeluarkan oleh UMS tanpa kebenaran Naib Canselor yang mana tempoh penyelenggaraan telah dilanjutkan sehingga lima tahun.

Ketika disoal balas oleh peguam Datuk D. Sentinathan, Harun, 60, berkata, keputusan tindakan tata tertib itu adalah hasil nasihat bahagian perundangan universiti tersebut.

Menurut saksi, tiada laporan polis dibuat berhubung pengeluaran surat tersebut kerana pihaknya telah menyerahkan perkara itu kepada bahagian perundangan.

Peter yang merupakan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah kini dibicarakan terhadap pertuduhan memalsukan dokumen dan tuduhan pilihan menggunakan
dokumen palsu.

Mahkamah turut mendengar keterangan kenalan Peter, Mohd. Shukur Mohd. Din, 57, berhubung penyediaan surat sokongan berkaitan projek berkenaan.

Mohd. Shukur tidak bersetuju ketika disoal balas oleh peguam bela bahawa surat berkenaan tidak disediakan di pejabat Peter.

Saksi itu turut menafikan cadangan Sentinathan bahawa  beliau merupakan pihak yang bertanggungjawab sepenuhnya menyediakan surat berkenaan di kafe siber.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin, Mohd. Shukur menyatakan dia menyerahkan surat sokongan tersebut kepada Peter di
pekarangan sebuah masjid di Putrajaya sebelum menuju ke Pejabat Perdana Menteri.

Peter, 50, sebagai Pengarah Urusan Asli Jati didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan memasukkan pernyataan
palsu dengan niat menipu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun 2014 dan 21 Ogos 2014.

Beliau juga berdepan pertuduhan pilihan iaitu sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati, menggunakan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan pernyataan palsu pada tajuk surat itu di tempat dan masa yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 23 Ogos ini.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN