PASIR GUDANG: Sebuah premis berasaskan sektor petrokimia dan sebuah kilang berasaskan makanan dan minuman di Kawasan Perindustrian Tanjung Langsat dikompaun Jabatan Alam Sekitar (JAS) kerana pelbagai kesalahan termasuk pelepasan efluen.
JAS Johor dalam kenyataan berkata, premis berasaskan petrokimia itu telah dikenakan kompaun sebanyak RM8,000 akibat melepaskan efluen berbuih ke longkang awam, Isnin lalu dan kesalahan lain.
Kesalahan itu dikesan ketika JAS Cawangan Pasir Gudang sedang menjalankan aktiviti pemeriksaan dan penguatkuasaan di kawasan perindustrian yang menjadi tumpuan pencemaran terbabit.
“Manakala, kilang berasaskan makanan dan minuman itu pula dikenakan tujuh kompaun pada Khamis lalu dengan jumlah keseluruhan RM14,000 kerana gagal menguruskan buangan terjadual dan efluen perindustrian mengikut peraturan ditetapkan.
“Premis itu gagal menguruskan efluen perindustrian mengikut kehendak Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 dan gagal menguruskan buangan terjadual mengikut kehendak Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005,” kata kenyataan itu hari ini.
Tambah kenyataan itu, operasi dan pemeriksaan yang dibuat mengikut pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan.
“JAS Johor mengingatkan agar semua premis industri yang beroperasi untuk memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan-peraturan di bawahnya.
“Ini bagi memastikan sebarang pencemaran alam sekitar tidak berlaku semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang sedang dilaksanakan,” katanya. -UTUSAN ONLINE