JOHOR BAHRU: Tanpa memikirkan soal bayaran dan penat lelah ketika bertugas, Dr. Zaini Abu Bakar tetap menjalankan tanggungjawab sosialnya terhadap masyarakat.
Mempunyai klinik sendiri NUSA Medical di Taman Nusa Perintis 3, Iskandar Puteri, Dr. Zaini yang turut menganggotai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perubatan Program Amal Insani memberi perkhidmatan percuma kepada pesakitnya.
“Sebagai seorang doktor perubatan, saya rasa terpanggil untuk merawat pesakit yang terkesan akibat pandemik Covid-19 yang melanda negeri ini.
“Slogan Kita Jaga Kita, Lindung Diri menjadi inspirasi saya untuk merawat penduduk yang tidak berkemampuan untuk mendapatkan rawatan di klinik atau hospital,” katanya ketika ditemui semasa merawat seorang pesakit di Taman Sri Pulai, di sini semalam.
Dr. Zaini datang sendiri ke rumah pesakit tersebut setelah dimaklumkan melalui seorang jiran yang mendapati warga emas tersebut mengalami sakit bengkak sendi menyebabkan dia tidak boleh bergerak dan kehabisan ubat.
Warga emas tersebut, Abdul Wahab Jaafar, 73, mengalami benjolan di beberapa bahagian tangan dan kaki sehingga sukar untuk bergerak dan tidur kerana sakit dan semput.
“Saya telah memberikan suntikan dan ubat supaya dapat mengurangkan rasa sakit dan bengkak serta berharap pesakit ini boleh menjalankan aktiviti seperti biasa,” jelas Dr. Zaini.
Sementara itu, Abdul Wahab yang tinggal bersama isterinya, Sharifah Nasir, 62, amat berterima kasih dan terharu atas kedatangan Dr. Zaini yang sudi merawatnya tanpa mengenakan apa-apa bayaran.
Menurut bekas pekerja Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) itu, kedatangan doktor tersebut dengan memberi rawatan dapat mengurangkan kesakitan dialaminya selepas menerima suntikan awal.
Abdul Wahab yang pernah bertugas sebagai Pengawas Bandar MBJB dan bersara pada tahun 1998 perlu membuat rawatan susulan dua bulan sekali di Klinik Kesihatan Pekan Nanas, Pontian.
Bagaimanapun sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dia tidak dapat bergerak dan hampir kehabisan ubat.
“Mujur ada jiran yang bantu dan menghubungi Dr. Zaini sehingga dia datang ke rumah saya untuk memberikan rawatan,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE