Dr. Roslan kembali sebagai Naib Canselor tepat-Alumni UPM - Utusan Malaysia

Dr. Roslan kembali sebagai Naib Canselor tepat-Alumni UPM

RAIHAN SHARIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Prof. Dr. Mohd. Roslan Sulaiman kembali semula bertugas sebagai Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) mulai 21 Jun lalu selepas jawatan itu kosong selama kira-kira tiga bulan.

Pelantikan semula beliau mendapat sokongan Persatuan Alumni Universiti Putra Malaysia (PAUPM) yang turut menghargai keputusan dan tindakan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan menyifatkannya sebagai tepat demi memastikan kelancaran pentadbiran serta pengurusan UPM yang cekap dan berkesan.

Menurut Presiden PAUPM, Datuk Raihan Sharif persatuan tersebut  sentiasa menyokong keputusan pelantikan  ke atas mana-mana individu yang layak dan sesuai untuk jawatan Naib Canselor UPM. 

“Selaras dengan objektif penubuhan persatuan, sokongan dan kerjasama ini adalah semata-mata untuk memastikan alma mater kami akan terus maju, cemerlang dan gemilang, “ ujarnya kepada Utusan Online.

Raihan berkata, sebenarnya pergerakan bekas pelajar UPM (Alumni UPM) telah lama aktif iaitu sejak sebelum tahun 1960-an lagi, iaitu semasa era Kolej Pertanian Malaya (KPM).  

Walau bagaimana pun pergerakan tersebut hanya didaftarkan secara rasmi dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) Selangor pada 29 Jun 1971

Dengan itu, pada 29 Jun 2021, genaplah 50 tahun PAUPM didaftarkan.

Objektif utama penubuhan PAUPM adalah untuk memupuk hubungan yang baik antara Alumni dengan UPM serta membantu dan membantu universiti berkenaan mencapai kecemerlangan pendidikan, penyelidikan dan perkhidmatan. 

Pada awal penubuhannya, peranan alumni adalah secara tidak langsung seperti sumbangan idea dan aktiviti kepada penubuhan sebuah Universiti Pertanian daripada  hanya sebuah Kolej Pertanian.

Di samping itu, melalui networking dan esprit de corp ahli alumni yang telah memegang jawatan penting dalam pentadbiran kerajaan pula telah membantu mempercepatkan pembangunan UPM ke tahap yang telah dicapai sekarang.

Kata beliau, oleh kerana status sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan, maka PAUPM tidak terikat sepenuhnya dengan peraturan pentadbiran kerajaan.

Sehubungan itu, PAUPM sering bekerjasama dan membantu UPM dalam perkara-perkara yang boleh menjejaskan kepentingan UPM.  

“Sebagai contoh apabila ada cadangan untuk menubuhkan sebuah Universiti Pertanian yang baru, PAUPM telah kehadapan untuk menyatakan bantahan.  Begitu juga dalam isu pengambilan tanah UPM untuk projek tertentu, PAUPM telah sekali lagi tampil kuat membantu UPM menghadapi masalah tersebut dengan bijaksana,” ujarnya.

Kini PAUPM telah mula mengorak langkah daripada aktiviti yang bercorak sosial semata-mata kearah aktiviti bercorak pembangunan sosio-ekonomi dan intelektual.  

Sesuai dengan kepakaran dalam kalangan ahli-ahlinya, PAUPM telah berjaya menganjurkan beberapa seminar dan bengkel. 

Resolusi-resolusi penting daripada seminar dan bengkel tersebut telah diperhalusi dan dikemukakan untuk pertimbangan kerajaan seperti memajukan industri kelapa dan mangga harumanis.

Di samping itu, satu kumpulan Pertanian Bernilai Tinggi (High Value Farming) telah diwujudkan dalam Jawatankuasa PAUPM untuk bertukar-tukar pendapat mengenai pembangunan pertanian yang boleh menambah nilai kepada usahawan tani.

PAUPM telah menubuhkan anak syarikat iatu, Bestari Serdang Sendirian Berhad (BSSB), sebagai business arms. Keuntungan dari perniagaan BSSB ini akan diguna untuk membiayai operasi PAUPM.

PAUPM akan mengumumkan pelancaran Tabung Bangunan Alumni  tidak lama lagi. Dengan adanya Bangunan Alumni ini nanti, lebih banyak aktiviti boleh dirancang dan lebih ramai alumni UPM  dapat dilibatkan.

“Bagi mempersiapkan graduan kita untuk menghadapi alam pekerjaan, kami dengan kerjasama Pusat Perhubungan Alumni, Hal Ehwal Pelajar (HEP) Pusat Keusahawan & Kerjaya (CEM),  bercadang untuk mengadakan kursus kesiapsagaan graduan.

“Ini bertujuan untuk   mempersiapkan graduan bagi menghadapi proses penilaian untuk jawatan pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) dan juga multinasional manakala input akan diberi oleh ahli-ahli alumni yang berpengalaman,” ujarnya.

PAUPM dan UPM akan sentiasa menyokong penuh Agenda Pertanian Negara dan PAUPM akan sentiasa membantu UPM untuk memartabatkan sektor pertanian dan menjadikan bidang tersebut sebagai satu perniagaan.- UTUSAN ONLINE

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya