Dr. Diyana cipta aplikasi 'Hear Me' bantu pelajar berkeperluan khas - Utusan Malaysia

Dr. Diyana cipta aplikasi ‘Hear Me’ bantu pelajar berkeperluan khas

DIYANA Kamaruddin menunjukkan aplikasi Hear Me yang merupakan alat bantu mengajar buat guru dan pelajar yang mengalami masalah pendengaran untuk mempelajari Bahasa Melayu Kod Tangan (BMKT).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Masalah pendengaran merupakan antara faktor yang menyumbang kesukaran belajar di sekolah hingga boleh menyebabkan pelajar ketinggalan.

Prihatin dengan masalah tersebut, penyelidik dari Universiti Malaysia Pahang (UMP) tampil dengan sebuah aplikasi yang dinamakan Hear Me yang merupakan alat bantu mengajar buat guru dan pelajar yang mengalami masalah pendengaran untuk mempelajari Bahasa Melayu Kod Tangan (BMKT).

Pensyarah Fakulti Pengurusan Industri (FPI) UMP, Dr. Diyana Kamarudin , 37, berkata, aplikasi Hear Me dilengkapi dengan ciri-ciri kecerdasan buatan (AI) serta pelbagai ciri lain yang terkandung dalam aplikasi alat mudah alih berkenaan. 

“Ciri AI pada aplikasi Hear Me ini dapat digunakan melalui proses pengecaman sesuatu objek menerusi gambar yang diambil dan kemudian ia akan memproses kepada kod isyarat tangan yang betul.

“Ia juga turut dilengkapi dengan pelbagai aktiviti interaktif yang dapat membantu dalam proses pembelajaran dengan aktiviti jawapan pendek atau mengisi tempat kosong dan padankan dengan jawapan yang betul.

“Selain itu, Hear Me juga menyediakan cerpen dan lagu beserta pautan  bagi sesetengah kandungan kepada para pengguna,” katanya dalam kenyataan di sini. 

Diyana berkata, aplikasi itu cukup menarik dan begitu mudah digunakan bagi setiap pengguna kerana telah diprogramkan mengikut kategori.

“Kategori yang telah diatur cara adalah Huruf, Warna, Aktiviti, Cerpen dan Lagu, Nombor dan Kategori Kata Bahasa Melayu Kod Tangan (buah-buahan dan sayur-sayuran, perihal diri, keluarga, haiwan, hari, rumah saya, makanan dan minuman, pakaian, sekolah dan kerjaya serta fungsi AI. 

“Aplikasi yang mula dibangunkan pada 2019 ini berjaya disiapkan pada awal tahun ini. Penyelidikan ini tidak terhenti di sini, malah Hear Me akan terus melakukan proses penambahbaikan dari pelbagai aspek seiring perkembangan teknologi yang semakin maju,” katanya.

Selain itu juga katanya, Hear Me merupakan aplikasi mudah alih yang direalisasikan berdasarkan sesi sumbang saran, proses penyediaan papan cerita, proses pengumpulan pendapat dan data dengan kerjasama penuh daripada Kementerian Pendidikan. 

 “Saya bersyukur kerana ia bukanlah usaha saya secara bersendirian. Ibu saya juga merupakan salah seorang yang terlibat secara aktif dalam bidang Pendidikan Khas. Beliau yang banyak memberikan inspirasi kepada saya untuk terus membantu masyarakat yang berkeperluan khas,” ujarnya.

Aplikasi Hear Me telah memperoleh hak harta intelek dan masih dalam proses pengumpulan data untuk pemerkasaan projek.

Bagi yang berminat, aplikasi itu boleh dimuat turun melalui Google Playstore untuk membantu guru dan pelajar berkeperluan khas di seluruh negara.

Aplikasi Hear Me bukan sahaja berjaya meraih pingat emas malah memenangi anugerah khas bagi kategori National STEM Association Award dan Euro Business-Haller Award dalam pertandingan Ekspo Teknologi Malaysia (MTE) Edisi Khas Covid-19 2021.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya