Darurat, belanja Covid-19 perlu dapat kelulusan Parlimen - Utusan Malaysia

Darurat, belanja Covid-19 perlu dapat kelulusan Parlimen

NGA KOR MING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT:  Perisytiharan dan ordinan darurat serta segala perbelanjaan berkaitan krisis Covid-19 wajib dibentang dan mendapat kelulusan Parlimen.

Wakil Pakatan Harapan (PH) dalam Jawatankuasa Kerja Perundangan dan Prosiding Parlimen, Nga Kor Ming berkata, ia selaras dengan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan yang mewajibkan perkara itu dibentang dan diluluskan Parlimen.

“Segala perbelanjaan  kerajaan dalam menangani wabak Covid-19 wajib dibentang, dibahas dan mendapat kelulusan Parlimen termasuk pakej rangsangan ekonomi Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonom (PEMERKASA), PEMERKASA+ dan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Teluk Intan itu berkata, memandangkan ahli-ahli Parlimen dan kakitangan Parlimen telah menerima suntikan vaksin Covid-19 serta rekod prosiding mesyuarat Parlimen yang berjaya diadakan tahun lalu, PH mencadangkan sesi mesyuarat Parlimen kali ini diadakan secara fizikal mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berwajib.  

Jelasnya, segala pindaan kepada peraturan mesyuarat Dewan Rakyat harus dibentang dan mendapat kelulusan dewan tersebut dan tidak boleh dijadikan dalih untuk menangguhkan agenda utama mesyuarat Parlimen iaitu berkaitan darurat menangani Covid-19.

“Saya telah menerima jemputan daripada Setiausaha Dewan Rakyat untuk menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Kerja Perundangan dan Prosiding Parlimen pada 5 Julai bertempat di bilik mesyuarat Parlimen sebagai wakil ahli-ahli Parlimen PH.

“Saya menjunjung kasih dan memandang serius titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang telah tiga kali menzahirkan pandangan supaya mesyuarat Parlimen perlu diadakan secepat mungkin sebelum 1 Ogos untuk membincangkan perisytiharan darurat, ordinan Darurat (kuasa-kuasa khas) serta perbelanjaan kerajaan yang melibatkan dana awam dalam menangani krisis wabak Covid-19,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya