Daripada guru vokal kini tauke ais krim kafe Froogurtz - Utusan Malaysia

Daripada guru vokal kini tauke ais krim kafe Froogurtz

MOHAMAD Hafizuddin (kiri) bersama pekerjanya menunjukkan aiskrim yogurt di kafenya yang terletak di Bandar Baru Kubang Kerian, Kota Bharu. - UTUSAN/ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerjaya Mohamad Hafizuddin Che Soh, 29, sebagai guru vokal di Sekolah Antarabangsa Sri KL, Kuala Lumpur hanya mampu bertahan selama dua tahun, sebelum terkubur angkara pandemik Covid-19 tahun lalu.

Mohamad Hafizuddin bagaimanapun tidak mudah mengalah, malah nekad pulang ke kampung halaman dan membuka Froogurtz, sebuah kafe menjual ais krim yogurt  di Bandar Baru Kubang Kerian, di sini sejak November  lalu.

Percaturan itu berhasil kerana hanya dalam tempoh beberapa bulan, Froogurtz laris terjual biarpun ketika dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga perniagaannya dikatakan mampu meraih pendapatan mencecah RM100,000.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mohamad Hafizuddin berkata, dia menjadi guru vokal sejak 2018 namun apabila PKP pertama kali dikuatkuasakan di seluruh negara pada Mac tahun lalu, semua guru lantikan kontrak termasuk dirinya diberhentikan.

“Saya akui kerjaya guru vokal sudah bagus, namun disebabkan pandemik Covid 19, saya hilang pekerjaan. Sukar untuk bertahan di Kuala Lumpur dengan wang simpanan semakin berkurangan.

“Jadi saya pulang ke kampung untuk menetap bersama kedua-dua orang tua. Berbekalkan modal diberikan keluarga, saya buka kafe ais krim yogurt ini kerana mendapati tiada lagi kafe seperti itu di tempat kami,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Lulusan Sarjana Muda Seni Muzik Komposisi Fakulti Muzik di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor, berkata, di peringkat awal, dia menghasilkan ais krim yogurt menggunakan resipi sendiri berbekalkan pengalaman pernah bekerja di restoran makanan segera di Kuala Lumpur.

“Saya ambil masa sebulan mencuba pelbagai kaedah supaya ais krim yogurt dihasilkan benar-benar menjadi, dan setanding dengan ais krim yogurt jenama terkenal. Selepas itu barulah saya beranikan diri buka kafe pada November 2020.

“Kafe kami menjual ais krim yogurt dengan harga berpatutan antara RM6 hingga RM17, bergantung kepada saiz, selain dihidangkan bersama hirisan buah segar seperti mangga, kiwi dan strawberi,” katanya yang kini mempunyai tiga pekerja.

Menurut Mohamad Hafizuddin, Froogurtz yang dibuka Isnin hingga Sabtu bermula pukul 12 tengah hari hingga 10 malam kecuali Jumaat pukul 3 petang hingga 10 malam, dijangka menambah satu lagi cawangannya di Wakaf Bharu bulan depan.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya