KANGAR: Ibu bapa yakin pembukaan sekolah untuk pelajar yang bakal menduduki peperiksaan di negeri dalam fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dapat membantu anak mereka untuk lebih bersedia dan fokus dalam menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Seorang ibu dari Sungai Padang, Simpang Empat di sini, Zuraidah Pin, 42, berkata, belajar secara bersemuka di sekolah dapat meningkatkan tumpuan para pelajar khususnya bagi mereka yang bakal menghadapi peperiksaan besar.
Katanya, belajar bersama guru-guru di sekolah membolehkan pelajar lebih mudah untuk memahami sesuatu mata pelajaran di samping dapat bertanyakan secara terus jika mempunyai masalah.
“Jika tidak faham anak-anak boleh tanya terus kepada guru. Tambahan pula kalau belajar melalui sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), kadang-kadang berhadapan dengan masalah capaian internet yang tersekat atau lemah semasa kelas.
“Lagipun, pelajar tingkatan lima sudah besar, jadi saya yakin mereka lebih arif mengenai penjagaan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 berbanding murid-murid sekolah rendah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Baru-baru ini, kerajaan mengumumkan pergerakan pelajar dan guru sekolah untuk kelas-kelas peperiksaan di bawah parameter Kawalan Pergerakan (Utama) antara aktiviti yang dibenarkan di lima negeri yang beralih ke fasa dua PPN.
Sementara itu, seorang lagi ibu yang anaknya bakal menduduki SPM tahun ini, Marlina Abdullah, 46, berkata, kelas bersemuka adalah yang terbaik jika dibandingkan dengan PdPR.
Katanya, pelajar lebih mudah berinteraksi di dalam kelas bersama guru-guru sekali gus menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran itu lebih lancar serta dapat difahami dengan mendalam lagi.
“Jika berkaitan risiko pula, adalah lebih sesuai untuk kelas pada masa ini dibuka untuk pelajar yang bakal menduduki peperiksaan sahaja. Ini kerana ia dapat mengurangkan risiko apabila tidak ramai pelajar yang hadir ke sekolah.
“Saya memang bersetuju dengan pembukaan sekolah ini supaya pelajar-pelajar yang bakal menduduki peperiksaan ini tidak tercicir,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE