Bihun sup COD ganti perniagaan pasar malam - Utusan Malaysia

Bihun sup COD ganti perniagaan pasar malam

MOHD. Faizi Mohd. Raid tidak menyangka perniagaan bihun sup secara COD yang dimulakan minggu lalu mendapat sambutan menggalakkan. - UTUSAN/MOHAMAD HAFIZI MOHD. SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Tidak dapat berniaga di pasar malam kerana Perintah Kawalan Pergerakan (KPK), seorang peniaga minyak wangi dan kosmetik beralih ke perniagaan menjual bihun sup secara khidmat penghantaran tunai (COD) untuk menyara keluarganya.

Mohd. Faizi Mohd. Raid, 35, berkata, idea menjual bihun sup COD itu diperoleh ketika dia buntu memikirkan keluarganya selepas dia tidak dapat berniaga di pasar pagi dan malam ekoran pelaksanaan PKP.

Menurut Mohd, Faizi, dia kemudiannya menggunakan pengalamannya sebelum ini bekerja sebagai pembantu jualan bihun sup di pasar malam selama sembilan tahun sebagai rezeki baharu untuk dirinya.

“Saya berbincang dengan isteri dan mulakan perniagaan COD bihun sup minggu lalu dengan membuka tempahan secara atas talian melalui Facebook dan WhatsApp.

“Sambutan yang saya terima begitu menggalakan. Pada mulanya saya hanya mahu menjual 50 bekas sahaja setiap kali kami membuka tempahan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Bendang Kering, Sayong sini, semalam.

Menurutnya, walaupun baru sahaja memulakan jualan COD bersambal kicap padu pada Jumaat lalu, dia sudah menerima tempahan sehingga 200 bekas.

Katanya, dia tidak menang tangan menyiapkan tempahan pelanggan.

“Saya buka tempahan dua hari lebih awal, saya tidak sangka kami terima tempahan sampai 200 bekas Jumaat lalu dan hari ini pula saya terima tempahan lebih 180 bekas,” katanya.

Mohd. Faizi berkata, dia tidak menjual bihun sup setiap hari sebaliknya hanya menjualnya tiga kali seminggu.

“Saya akan memasak dan menghantar bihun sup bersama laksa secara bergilir kepada pelanggan pada hari Isnin, Rabu dan Jumaat sahaja memandangkan saya perlu menguruskan anak-anak mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

“Alhamdulillah, inilah rezeki saya sekarang walaupun tidak seberapa sekurang-kurangnya lepaslah untuk belanja harian anak-anak dan keluarga memandangkan pasar malam tidak dibenarkan beroperasi,” katanya.

Menurut Mohd Faizi, setakat ini, dia menerima tempahan dan menghantar COD kepada pelanggan sekitar Kuala Kangsar walaupun terdapat permintaan dari penduduk luar.

“Saya dapat tempahan dari Manong dan Gerik tetapi saya tidak dapat hantar kerana jauh namun mereka sanggup datang ke sini untuk mengambil bihun sup sambal kicap padu kami,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya