Berita Dunia RTM kembali selepas 2 minggu tidak bersiaran - Utusan Malaysia

Berita Dunia RTM kembali selepas 2 minggu tidak bersiaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Setelah dua minggu langsung tidak bersiaran, Berita Dunia RTM mula kembali menemui jutaan penonton setianya seperti biasa di saluran TV1 pada pukul 11 malam hari ini.

Khabar gembira tersebut tular diperkatakan warganet susulan portal rasmi Jabatan Penyiaran Malaysia iaitu RTMklik memaparkan program rutin berita itu dalam jadual intisari siarannya.

Slot berita berdurasi 30 minit berkenaan juga dipaparkan ke udara menerusi saluran Berita RTM yang eksklusif dapat ditonton 6.2 juta isi rumah pengguna digital terrestrial Myfreeview.

Sebelum itu, ramai netizen memperkatakan mengenai ketiadaan program berita antarabangsa RTM tersebut apabila tidak bersiaran pada 5 Julai lalu tanpa ada sebarang pemberitahuan.

Ruang berkenaan sebaliknya telah digantikan dengan beberapa program dokumentari serta genre travelog antaranya Mukjizat dan Sains, Mumbai ke London dan Rumpun Melayu Global.

Sepanjang ketiadaan Berita Dunia selama dua minggu itu, laporan luar negara ditambah masa melalui slot Berita Perdana pukul 8 malam dan Berita Tengah Malam pada 12 tengah malam.

Misteri ketiadaan Berita Dunia RTM juga mencetuskan khabar angin mendakwa sebahagian besar petugas slot itu dijangkiti wabak Covid-19 apabila tiada kenyataan rasmi dikeluarkan.

Spekulasi itu malah bertambah kencang apabila Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah ‘terlepas cakap’ mengenai ada seksyen berita di Angkasapuri dikuarantin.

Beliau dilaporkan secara tidak sengaja meluahkan kebimbangan itu ketika sesi ‘turun padang’ secara maya bersama warga kerja Telekom Malaysia dari seluruh negara pada 7 Julai lalu.

Perkembangan itu menyebabkan beliau mengimbau balik keadaan sama pernah berlaku pada Pilihan Raya Sabah tahun lalu melibatkan stesen-stesen tempatan RTM di negeri tersebut yang mana ramai petugas agensi penyiaran awam itu terpaksa dikuarantin apabila disyaki kontak rapat kes Covid-19 dan mengakibatkan siaran domestik negeri tersebut diambil alih Angkasapuri.

Berita Dunia RTM mula ke udara sejak awal dekad 1980-an di TV1 yang ketika itu dikenali sebagai saluran RTM1 dengan waktu asalnya bersiaran pada pukul 10 malam setiap hari dan kemudian pernah ditukarkan namanya kepada Warta Dunia dan Dunia Jam 10 sebelum dijenamakan semula sebagai Berita Dunia dengan waktu siaran diubah kepada 11 malam.

Slot ini pernah mencatatkan rating tertinggi ketika Perang Teluk pada 1990-1991, di samping insiden 11 September 2001 serta kehilangan misteri MH370 dan tragedi MH17 pada 2014.

Malah, program berita ini menjadi tumpuan ketika berlaku peristiwa kren tumbang di Masjidil Haram pada 2015 yang menyaksikan enam jemaah haji Malaysia syahid dan 10 lagi cedera.

Selain itu, penampilan unik beberapa penyampainya turut menjadikan slot ini digemari ramai, antaranya Allahyarham Farit Ismeth Emir atau Pak Ngah dengan ‘suara emas’ ala Arab.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya