Benteng pemecah ombak pecah - Utusan Malaysia

Benteng pemecah ombak pecah

Tangkap layar daripada video yang tular di media sosial menunjukkan benteng pemecah ombak pecah di Pantai Chenang, Langkawi, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Benteng pemecah ombak yang dibina berhampiran Pangkalan Nelayan Chenang di sini pecah selepas dihempas ombak, hari ini.

Benteng tersebut pecah sepanjang kira-kira 4.5  meter dalam kejadian pada pukul 2 petang.

Panjang keseluruhan benteng bagi mengatasi masalah hakisan ombak di pantai tersebut ialah 800 meter yang dibina pada tahun 1995.

Satu video berdurasi 56 saat yang menunjukkan benteng  tersebut pecah mula tular di media sosial pada petang hari ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Langkawi Kapten (PA) Ahmad Shahfikri Darus ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Bagaimanapun, menurutnya, tiada kemalangan jiwa dan kecederaan yang dilaporkan susulan kejadian tersebut.

“Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Langkawi memberi amaran kepada semua warga Langkawi supaya tidak berkunjung atau memancing di sekitar kawasan benteng pemecah ombak itu atas faktor keselamatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kawasan benteng tersebut kebiasaannya menjadi lokasi tumpuan penduduk setempat untuk melakukan aktiviti riadah dan memancing.

Ahmad Shahfikri memberitahu,  pihaknya menerima maklumat diramalkan ribut petir dengan kelajuan angin sehingga 50 kilometer sejam (km/j) dan ketinggian ombak sehingga 3.5 meter (m) dijangka berterusan di perairan ini sehingga esok.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia pada Jumaat lalu mengeluarkan amaran hujan lebat di sekitar utara Semenanjung Malaysia yang dijangka akan berlaku sehingga esok.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya