PUTRAJAYA: Seorang bekas pengawal keselamatan kekal menjalani hukuman gantung atas kesalahan melepaskan tembakan terhadap seorang juruwang warganegara Bangladesh sehingga mangsa cedera di pinggangnya, semasa melakukan rompakan di sebuah kiosk stesen minyak, lima tahun lalu.
Keputusan itu dicapai secara sebulat suara oleh panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abang Iskandar Abang Hashim selepas menolak rayuan akhir Fairol Azman Amironzuki, 37, hari ini.
Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Harmindar Singh Dhaliwal mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mendapatinya bersalah pada 27 September 2017 dan Mahkamah Rayuan yang mengekalkannya pada 16 Januari 2019.
Panel tersebut berpuas hati bahawa sabitan dan hukuman yang diputuskan itu, selamat untuk dikekalkan.
Bekas pengawal keselamatan itu mempunyai peluang terakhir untuk mengemukakan rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong agar hukuman mati itu diringankan kepada hukuman penjara.
Fairol Azman disabitkan atas tuduhan melepaskan tembakan dengan niat hendak menyebabkan kematian atau kecederaan terhadap pekerja stesen minyak, Tarikul Islam Tarak semasa hendak melakukan rompakan di premis Petroniaga Mesra Services, Setapak, Jalan Genting Kelang, Wangsa Maju, pada 5.40 petang, 7 Ogos 2016.
Dia didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971 yang boleh dihukum di bawah seksyen sama, yang memperuntukkan hukuman mati.
Mahkamah Tinggi ketika itu berpuas hati bahawa bapa kepada seorang cahaya mata itu memang mempunyai niat untuk melakukan rompakan.
Keterangan kes menunjukkan Fairol Azman mengacukan senjata ke arah warganegara Bangladesh itu dan sambil meminta wang tunai sebelum berlaku pergelutan di antara kedua-duanya.
Perayu kemudian melepaskan tiga tembakan yang mana salah satunya terkena pinggang mangsa menyebabkan lelaki itu mengalami kecederaan parah.
Perayu diwakili oleh peguam Afifuddin Ahmad Hafifi manakala Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farhana Khalid mewakili pihak pendakwaan.- UTUSAN ONLINE