GEORGETOWN: Aplikasi perancang perjalanan Planning Your Lifestyle Efficiently’ (Pulse) kini diperluaskan fungsinya merangkumi perkhidmatan Rapid Penang termasuk di Seberang Prai dan Rapid Kuantan di Pahang.
Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datin Norlia Noah berkata, aplikasi berkenaan diperkenalkan kepada pengguna perkhidmatan rel dan bas Rapid KL pada 17 Disember tahun lalu dan amat memudahkan pengguna.
Katanya, ia mempunyai beberapa fungsi penting bagi pengguna perkhidmatan pengangkutan awam kendalian Prasarana seperti perancang perjalanan, penjejak waktu ketibaan masa sebenar untuk perkhidmatan bas dan rel, paparan notifikasi atau push notifications dan kalkulator tambang.
“Ia turut memaparkan peta stesen-stesen tren dan hab bas serta tempat-tempat menarik di persekitarannya seperti pusat beli-belah, tempat makan dan santai.
“Selain itu, ia turut memaparkan lokasi tarikan pelancong bagi memudahkan pengguna merancang perjalanan dan aktiviti mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Norlia, Prasarana berasa bangga apabila fungsi perjalanan Pulse kini diaktifkan meliputi perkhidmatan bas yang dikendalikan oleh Rapid Penang dan Rapid Kuantan.
“Dengan fungsi Pulse, ia memudahkan para pengguna di Pulau Pinang dan Kuantan termasuk kawasan sekitarnya seperti Bandar Diraja Pekan merancang perjalanan dengan lebih baik serta mengoptimakan masa dengan lebih produktif,” katanya.
Tambahnya, sejajar dengan pelan digitalisasi tiga tahun bagi Pulse, ia akan dikembangkan lagi pada masa depan dengan pelbagai inisiatif yang akan diperkenalkan oleh Prasarana sebagai menghargai sokongan pengguna.
Antara lain jelas beliau, Pulse akan dilengkapi dengan fungsi pembelian atas talian, program kad kesetiaan, promosi dan ganjaran dengan rakan-niaga, plug-in bagi akaun media sosial para pengguna dan banyak lagi.
Dalam pada itu Norlia berkata, setakat ini Pulse telah dimuat turun lebih 20,000 kali oleh pengguna pengangkutan awam khususnya di Lembah Klang merangkumi semua perkhidmatan tren dan bas di bawah seliaan Rapid KL termasuk Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan monorel serta bas BRT, GoKL dan Smart Selangor.
“Serentak dengan pelancaran versi terbaru Pulse, pengguna yang memuat turun aplikasi ini berpeluang menyertai kempen promosi yang dinamakan Mana Oyen?”, bermula dari 23 hingga 30 Julai ini.
“Tiga penyertaan lengkap dan dengan jawapan yang betul dari setiap lokasi (Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kuantan) akan memenangi hadiah misteri manakala 50 penyertaan terawal secara keseluruhan akan mendapat Kad My Rapid Touch ‘n Go edisi terhad,” katanya. – UTUSAN ONLINE