Aplikasi PISAH pantau individu yang dikuarantin akibat Covid-19 - Utusan Malaysia

Aplikasi PISAH pantau individu yang dikuarantin akibat Covid-19

MAZLINA Abdul Majid menunjukkan aplikasi PISAH yang dihasilkannya bagi memantau individu yang dikuarantin akibat Covid-19.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Penyelidik daripada Fakulti Komputeran (FK), Universiti Malaysia Pahang (UMP) di sini menghasilkan sistem yang dapat memantau dan mengesan rekod individu yang dikuarantin yang diberi nama Covid Patient Tracking System at Home (PISAH).

Penyelidik berkenaan, Prof. Madya Dr. Mazlina Abdul Majid, berkata, ideanya bermula apabila melihat peningkatan kes baharu dan bersimpati dengan nasib petugas barisan hadapan yang semakin penat merawat pesakit Covid-19 setiap hari.

Beliau berkata, PISAH adalah aplikasi berasaskan telefon pintar yang akan memantau dan mengesan rekod individu yang dikuarantin akibat Covid-19 di rumah selama 14 hari.

Jelasnya, ia berdasarkan perkataan Melayu ‘pisah’ yang bermaksud memisahkan atau mengasingkan.

“Apabila kes meningkat maka jumlah kontak rapat atau Pesakit Bawah Siasatan (PUI) juga semakin meningkat, jadi untuk mengurangkan kes rawatan Covid-19 di hospital dan mengelakkan penyebaran berterusan kawalan ketat perlu diperkenalkan.

“Maka, tercetuslah idea untuk menghasilkan aplikasi yang boleh membuat pemantauan dari rumah bagi pesakit yang mempunyai simptom ringan dan individu yang menjadi kontak rapat.

“PISAH berjaya mengesan lokasi individu menggunakan teknologi Sistem Penentukedudukan Global (GPS). Dengan adanya aplikasi ini, lokasi akan direkodkan berdasarkan waktu tertentu dan mereka yang bertanggungjawab untuk memantau iaitu polis atau majikan dapat mengesan pergerakan individu dari papan pemuka peribadi aplikasi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mazlina berkata, penggunaan aplikasi PISAH begitu mudah digunakan dengan hanya perlu didaftarkan menerusi telefon pintar sahaja.

“Menerusi aplikasi ini individu yang perlu dikuarantin akan mendaftar maklumat peribadi mereka termasuk tarikh bermula dikuarantin.

Individu tersebut juga perlu menilai tahap kesihatan mereka sepanjang tempoh kuarantin. Pada masa yang sama, pemantau dapat mengetahui tahap kesihatan individu tersebut,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, aplikasi PISAH juga berguna dalam pelaksanaan pemantauan kuarantin di rumah yang ketat oleh Kementerian Kesihatan atau majikan dan bermanfaat untuk pengurangan kos serta pengoptimuman sumber.

Menurut anak jati negeri Pahang itu lagi, PISAH kini siap untuk diuji di persekitaran sebenar di mana–mana organisasi.

Beliau berharap aplikasi PISAH dapat diguna pakai oleh organisasi atau Kementerian Kesihatan untuk membuat pemantauan ketat kepada staf atau individu yang perlu dikuarantin di rumah dengan hanya melalui aplikasi telefon.

Katanya, banyak kepentingan PISAH kepada masyarakat antaranya, mampu menghentikan penyebaran Covid-19 dalam kalangan pekerja mereka dengan melakukan pemantauan sendiri terhadap kontak rapat tahap satu (CC1) dan kontak rapat tahap dua (CC2) yang dikenal pasti oleh organisasi.

“Sistem ini juga boleh digunakan bagi universiti untuk membantu pemantauan pelajar yang perlu dikuarantin dalam kampus atau membantu pihak lapangan terbang dalam menguruskan proses kuarantin bagi individu atau pelancong yang memasuki Malaysia.

“Selain itu, ia mampu membantu pihak klinik yang perlu membuat pengawasan untuk individu yang diletakkan di bawah perintah kawalan dari rumah dan dapat mengoptimumkan pemeriksaan rutin polis ke atas individu yang dikuarantin di rumah.

“Saya amat berterima kasih atas kerjasama daripada Klinik Saidi dalam mendapatkan data.

“Saya berhasrat menjadikan PISAH sebagai aplikasi yang boleh dicapai melalui MySejahtera melalui hubungan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan dan meluaskan PISAH ke negara luar dengan menyesuaikan fungsi PISAH dengan keperluan negara tersebut,” ujarnya.

Beliau juga berharap akan memperoleh geran untuk mengembangkan fungsi PISAH dengan menerapkan konsep Internet Segala Bidang (IoT), kepintaran buatan   (AI) dan analisis data raya dengan menjadikan aplikasi yang lengkap dan hasil rekod dari aplikasi boleh diguna pakai untuk pelbagai analisa pada masa akan datang.

Penyelidikan itu juga diiktiraf setelah berjaya meraih pingat emas dan anugerah khas National STEM Association Award dan Euro Business-Haller Award dalam Pertandingan Ekspo Teknologi Malaysia (MTE) edisi Covid-19 baru-baru ini.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya