Anak bongsu arwah panggil ibu, mahu menyusu badan - Utusan Malaysia

Anak bongsu arwah panggil ibu, mahu menyusu badan

AQEEL Zayaan Mohd. Zuki yang bakal berusia genap dua tahun pada 17 Julai ini dipangku ibu saudaranya, Nuraishah Ali Khan sambil diperhatikan kakaknya Damia Irdina ketika ditemui di kediamannya di Al Muktafi Billah Shah (AMBS) di Dungun hari ini. -UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Anak bongsu kepada wanita yang maut dalam kemalangan di Kilometer 25, Jalan Paka-Al Muktafi Billah Shah (AMBS) cuma berusia 23 bulan dan pagi ini kanak-kanak lelaki itu beberapa kali memanggil ibunya setelah ‘terpisah’ sejak semalam.

Aqeel Zayaan Mohd. Zuki masih terlalu kecil untuk mengerti yang dia dan juga kakak sulung,  Damia Irdina, 13,  kini bergelar yatim piatu sekelip mata selepas kedua ibu bapa mereka, Mohd. Zuki Yusof, 44, serta Nur Farraheeda Ali Khan, 41, maut dalam nahas kira-kira pukul 3.10 petang itu.

Kemalangan tersebut turut mengorbankan kakak kedua kepada bayi berkenaan iaitu Nasyreen Umayra, 10, manakala Damia Irdina pula patah bahu kiri.

Ibu saudaranya, Nuraishah Ali Khan, 26, berkata, hatinya sebak melihat Aqeel Zayaan mencari-cari ibunya selepas selesai pengebumian jenazah tiga beranak itu di Tanah Perkuburan Islam AMBS, subuh semalam.

“Semasa melangkah keluar dari kubur keluarganya, Aqeel Zayaan mula memanggil uminya beberapa kali mungkin kerana rindu tidak berjumpa sejak semalam kerana biasanya dia menyusu badan pada waktu malam,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kediamannya di AMBS di sini semalam.

Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila kereta Subaru yang dipandu Mohd. Zuki dari arah Paka tiba-tiba hilang kawalan ketika di selekoh hingga menyebabkan kenderaan utiliti sukan (SUV) tersebut bertembung dengan sebuah bas dari arah bertentangan.

Nuraishah berkata, arwah kakaknya sudah menempah kek hari jadi Aqeel Zayaan yang bakal berusia genap dua tahun pada 17 Julai ini, sekali gus menjadi kenangan terakhir untuk anak saudaranya.

Sementara itu, katanya, sejak minggu lalu, Nur Farraheeda kerap menghantar gambar anak bongsunya menerusi aplikasi WhatsApp termasuk ketika masih bayi dan tidak menyangka itu petanda insan tersayangnya pergi buat selamanya.

Menurutnya, sehari sebelum kejadian itu dia turut bermimpi mangsa memintanya menjaga anak-anak, namun tidak sempat diceritakan selepas kakaknya terlibat dalam kemalangan tersebut.

“Saya memang rapat dengan anak-anak mangsa dan hampir setiap hari kami berjumpa, InsyaAllah, dua beradik ini akan dijaga ibu bapa saya,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya