KOTA KINABALU: Gara-gara berang barisannya dipotong pemandu teksi lapangan terbang lain, seorang pemandu limo mengamuk lalu merempuh tiga kenderaan dekat sini, hari ini.
Dalam beberapa video tular dalam media sosial, pemandu teksi itu dilihat bertindak merempuh tiga kenderaan lain sebelum turun dan terbaring berhampiran lokasi kejadian.
Kejadian yang dilaporkan berlaku kira-kira pukul 1 tengah hari itu membabitkan seorang lelaki berusia 60-an di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK).
Namun, tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam insiden tersebut.
Berdasarkan video tular itu, pengguna media sosial mengandaikan kejadian itu berlaku berikutan kesempitan hidup dialami pemandu berkenaan yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Menerusi satu rakaman video yang berdurasi kira-kira satu minit, orang ramai termasuk pemandu airport limo yang berada di lokasi hanya mampu melihat tindakan lelaki tersebut.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rakman ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.
Jelas beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian bagi tindakan selanjutnya.- UTUSAN ONLINE