PUTRAJAYA: Aktiviti berkaitan penanaman padi di sekitar Daerah Kuala Selangor, Selangor dibenarkan beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi menjamin kelangsungan rantaian bekalan makanan negara.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika memberi jaminan itu berkata, justeru, kawasan penanaman padi di Ijok adalah dibenar beroperasi seperti biasa dengan merujuk situasi sama pernah dialami di Cameron Highlands, Pahang baru-baru ini.
Beliau mengulas kebimbangan ramai pesawah di Mukim Ijok yang antara terlibat dalam pelaksanaan PKPD di daerah itu selain turut meliputi dua mukim lagi, Bestari Jaya dan Jeram.
Ia susulan hampir keseluruhan Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dikenakan PKPD bermula hari ini sehingga 16 Julai disebabkan trend tinggi wabak Covid-19.
Sebelum ini, bekalan sayur dari Cameron Highlands terputus apabila PKPD dilaksanakan di Kampung Raja selama 14 hari mulai 14 Jun lalu menyebabkan harga melonjak di pasaran.
Keadaan itu mendorong Majlis Keselamatan Negara (MKN) memutuskan operasi berkaitan rantaian pertanian dibenarkan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri juga memaklumkan hanya sektor perkilangan melibatkan produk keperluan harian dibolehkan beroperasi di kawasan PKPD untuk mengelak bekalan terputus.
“Ini meliputi kilang pengeluaran gula, beras, minyak masak, tepung gandum, roti dan susu kanak-kanak yang diizinkan dengan surat kebenaran kementerian berkenaan,” tegas beliau.
Begitu juga ujarnya, perkhidmatan utiliti, air, internet, telekomunikasi, pengurusan sampah dan pembetungan yang dibenarkan untuk merentas kawasan ketika melalui sekatan jalan raya.
Dalam pada itu katanya, Task Force Operasi Pematuhan mendapati masih ada lagi kilang dan premis perniagaan yang berdegil selain ingkar arahan serta SOP ditetapkan pihak kerajaan.
Keadaan tersebut tambah beliau, terbukti apabila sebanyak lima buah kilang dan empat premis perniagaan lagi telah diarahkan untuk ditutup operasi mereka di seluruh negara semalam.
“Pasukan tersebut semalam telah pun melakukan pemeriksaan ke atas sebanyak 2,943 buah kilang selain 16,168 premis perniagaan serta 81 asrama penempatan pekerja,” kata beliau.
Secara kumulatif, pasukan berkenaan sudah pun melaksanakan sejumlah 98,024 pemeriksaan dan serbuan mengejut dengan kekuatan seramai 21,777 anggota dari pelbagai agensi.
Pihak kerajaan ujar beliau, akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan secara menyeluruh ke atas kilang dan premis perniagaan kerana didapati banyak berlaku pelanggaran arahan.- UTUSAN ONLINE