Air Sungai Chepir keruh, penduduk catu bekalan - Utusan Malaysia

Air Sungai Chepir keruh, penduduk catu bekalan

Seorang penduduk Abdul Wahid Hasan menunjukkan air Sungai Chepir yang keruh di Kampung Padang Toi, semalam
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIK: Rata-rata penduduk Kampung Padang Toi di sini, terpaksa membuat catuan bekalan air bersih ekoran Sungai Chepir berdekatan kampung tersebut sering keruh terutama selepas hujan.

Pada masa sama bekalan air daripada Syarikat Air Darul Aman (SADA) pula mengalami tekanan rendah.

Seorang penduduk, Abdul Wahid Hasan, 50, berkata,  jika keadaan air Sungai Chepir bersih dan jernih seperti sebelum ini.penduduk tidak menghadapi masalah mendapatkan bekalan air.

Bagaimanapun, dakwanya, air di sungai itu didapati keruh dipercayai berpunca daripada aktiviti pembalakan dan pembersihan ladang getah di kawasan hulu sungai berkenaan.

Menurutnya, keadaan air di sungai itu didapati  lebih keruh ketika kuari pasir beroperasi di dalam sungai tersebut sebelum ini.

“Masalah air sungai yang keruh sehingga tidak dapat digunakan oleh penduduk berlaku secara serius sejak dua tahun lalu.

“Sebelum ini, penduduk masih boleh menggunakan air sungai tersebut yang jernih dan bersih untuk kegunaan harian,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan lebih 300 penduduk di Kampung Padang Toi muak dan jemu dengan masalah ketiadaan bekalan air sehingga menyukarkan urusan harian yang berlarutan sejak setahun lalu.

Seorang lagi penduduk, Junus Jusoh, 65, pula berkata, penduduk kecewa apabila mereka tidak dapat menggunakan air di sungai tersebut walaupun untuk membasuh pinggan dan pakaian.

Menurutnya, keadaan tersebut menyebabkan mereka terpaksa berjimat cermat menggunakan air yang diambil daripada paip air atau dibekalkan SADA melalui lori tangki.

“Saya juga menadah air hujan untuk kegunaan lain seperti membasuh pinggan, kain pakaian dan mandi,” katanya.

Penduduk yang tidak mahu mendedahkan identitinya pula berkata, dia mengharapkan pihak berkuasa dapat mengawal aktiviti pembalakan di hulu sungai itu bagi menjamin air sungai yang digunakan penduduk kembali jernih dan dapat digunakan semula.

“Sebahagian penduduk di kampung ini adalah  keluarga miskin dan mereka tidak mampu membina  telaga bawah tanah atau memasang tangki kerana memerlukan kos  tinggi,”katanya.- UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya