KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menipu pelakon Datuk Fizz Fairuz berhubung projek pembersihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), bulan lalu.
Tertuduh Khairul Khuzaini Zamsani, 26, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Taufiq Affandy Chin.
Mengikut pertuduhan, Khairul Khuzaini didakwa telah menipu pelakon itu atau nama sebenarnya Mohd. Fairus Zainal Abidin, 42, dengan mempercayai bahawa tertuduh memiliki projek pembersihan daripada DBKL berjumlah RM1.81 juta.
Perbuatan itu dengan curangnya mendorong mangsa memasukkan wang ke dalan akauan Maybank milik tertuduh berjumlah RM18,100.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit kondominium Jalan Dutamas Raya Mont Kiara di sini pukul 3.52 petang pada 6 Jun lalu.
Ahli perniagaan itu didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat an boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Norazman menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun peguam Khairul Mukhtar yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan itu dikurangkan anak guamnya merupakan penanggung utama keluarga.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 September ini untuk sebutan kes.
Kosmo! Online baru-baru ini melaporkan pelakon terkenal, Datuk Fizz Fairuz mendedahkan wajah dan identiti individu yang menipunya sehingga mengakibatkan
kerugian mencecah lebih RM18,000.
Difahamkan, suspek juga telah menipu berhubung gelaran Datuk Seri yang digunakannya.
Pelakon berkenaan memaklumkan bahawa wang RM18,000 itu adalah sebagai bayaran bon bagi sebuah tender projek di bawah DBKL.
Dia mula menyedari ditipu selepas mendapat nasihat kenalan manakala individu itu menghilangkan diri menyebabkannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat
Polis Daerah (IPD) Sentul. – UTUSAN ONLINE