PUTRAJAYA: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang sudah pun mempunyai lebih 20,000 ahli akan mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) pertamanya tidak lama lagi.
Timbalan Presidennya, Datuk Marzuki Yahaya berkata, ia selepas parti itu sudah diluluskan pendaftaran oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) dan menjadi sebuah parti yang sah, semalam.
Beliau yang juga bekas Timbalan Menteri Luar Negeri berkata, bagi memantapkan gerakan parti, AGM perlu diadakan segera iaitu dalam tempoh terdekat bagi membolehkan pelbagai perkara diselesaikan.
“Perancangan pertama adalah mengadakan AGM kerana kita mahu meluluskan beberapa pindaan yang memerlukan perhatian dalam AGM.
“Malah sehingga saat ini, kita mempunyai lebih 20,000 ahli dan Pejuang sudah boleh membuka penyertaan secara rasmi selepas mendapat makluman rasmi RoS semalam,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengambil sijil kelulusan parti di perkarangan Kompleks D, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Setiausaha Agung Pejuang yang juga bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah.
Utusan Malaysia semalam melaporkan Pengerusi Pejuang, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengesahkan partinya sudah diluluskan RoS tetapi tidak sekali-kali menyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Kelulusan mengejut parti itu kebetulan genap tempoh akhir 14 hari yang difailkan Pejuang secara mandamus di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mencabar kerajaan.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin membuat keputusan berhubung rayuan Pejuang untuk mendaftar parti itu dalam tempoh 14 hari bermula 25 Jun lalu.
Hakim Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid dalam penghakimannya berkata, responden pertama (Menteri Dalam Negeri) tidak boleh mengambil masa terlalu lama untuk memutuskan rayuan tersebut kerana perkara yang terlibat tidak terlalu rumit.
Ketika ini, Pejuang yang diumumkan namanya secara rasmi pada 12 Ogos tahun lalu, mempunyai empat wakil dalam Dewan Rakyat dan seorang senator sahaja di Dewan Negara.
Dalam perkembangan berkaitan keahlian, Marzuki berkata, pendaftaran ahli dibuka mulai hari ini selepas Pejuang manjadi parti yang sah.
“Sebelum ini, Pejuang menerima hampir lebih 20,000 orang yang berminat menyertai parti maka hari ini, secara rasminya mereka semua itu telah menjadi ahli yang sah,” katanya. – UTUSAN