KUALA NERUS: Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang Kampus Jengka, Muhammad Adham Hazim Mohd. Rizaini, 19, yang meninggal dunia semalam mengadu sakit kepala sejak Jumaat lalu berikutan kesibukan mengulang kaji pelajaran untuk peperiksaan.
Ibunya, Rosfazilah Salleh, 46, berkata, kesakitan tersebut bagaimanapun disangka cuma pening biasa yang berkemungkinan kerana anak keduanya itu kurang tidur akibat waktu belajar yang tidak menentu.
“Arwah ada peperiksaan dua minggu lagi dan saya selalu berpesan padanya supaya berehat serta tidur secukupnya walaupun sibuk membuat persediaan.
“Dia tidak pernah bercakap tentang tekanan atau stres belajar, sebaliknya gembira dapat menyambung pengajian dalam bidang kejuruteraan bagi mengikut jejak langkah ayahnya,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Tepoh di sini semalam.
Muhammad Adham Hazim dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu selepas mengalami sakit kepala dan sesak nafas pada pukul 5 pagi, semalam.
Penerima Anugerah Dekan dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.89 itu, bagaimanapun menghembuskan nafas terakhir pada pukul 10.52 malam, hari sama akibat pendarahan dalam otak.
Sementara itu, bapanya, Mohd. Rizaini Ghazali, 51, berkata, anaknya sangat disenangi rakan-rakan serta pensyarah di universiti dan selain cemerlang dalam pelajaran, Allahyarham juga aktif menghasilkan video di samping gemar berniaga bagi mencari pendapatan sampingan.
“Arwah sangat rapat dengan keluarga dan gemar mengusik adik-beradiknya, walaupun terkejut dengan pemergian sekelip matanya, kami reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya. – UTUSAN