SHAH ALAM: Sebanyak 90 peratus warga kerja Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor sudah menerima vaksin Covid-19 sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan pada 23 Februari lalu.
Pengarahnya, Nazli Md. Taib berkata, kakitangan jabatan itu mula disuntik sejak fasa kedua program itu bermula kerana mereka dikategorikan sebagai petugas barisan hadapan.
“Kita tidak mewajibkan anggota untuk mengambil vaksin kerana mereka berhak untuk memilih sama ada untuk menerimanya atau tidak.
“Apa yang boleh kita lakukan adalah untuk galakkan mereka mengambilnya demi kebaikan mereka sendiri,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyertai Operasi (Op) Patuh Covid-19 JPJ Selangor di Persiaran Budiman, Seksyen 25, di sini semalam.
Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) memaklumkan sebanyak 460,158 dos vaksin Covid-19 yang telah diberikan di seluruh negeri, semalam.
Dalam tempoh sama, Selangor menjadi negeri tertinggi memberi dos vaksin tertinggi iaitu sebanyak 113,468 dos.
Dalam pada itu, Nazli mendedahkan seramai 27 warga kerja JPJ Selangor yang dijangkiti Covid-19 sejak pandemik terbabit melanda negara, Mac tahun lalu.
Justeru itu, beliau mengingatkan supaya semua anggotanya supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Saya kalau boleh nak elakkan anak buah daripada dijangkiti, lebih-lebih lagi varian virus baharu yang dikesan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ketika ini,” katanya. – UTUSAN