KOTA KINABALU: Kira-kira 70 orang tinggal sehelai sepinggang apabila 22 buah rumah musnah dalam dua kejadian kebakaran yang berlaku di Semporna dan Tangjung Aru dekat sini sejak semalam.
Awal pagi tadi, 10 buah rumah musnah perkampungan atas air Kampung Tanjung Aru Baru yang membabitkan 34 buah isi rumah.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Ir. Shahelmey Yahya ketika melawat tapak kebakaran pagi ini memaklumkan, berita mengenai kejadian kebakaran itu diterima pada 7 pagi tadi.
“Api sudah berjaya dikawal dan punca kebakaran masih dalam siasatan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM).
“Dari segi bantuan pula, selepas pusat pemindahan sementara (PPS) diaktifkan, kita akan menghulurkan bantuan sewajarnya kepada mangsa yang terjejas,” katanya.
Pusat Gerakan Operasi JBPM Sabah menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian kebakaran di Kampung Tanjung Aru Baru ini pada 7.08 pagi.
Sepasukan 40 orang pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian menggunakan sebuah jentera fire rescue tender (FRT), sebuah jentera light fire rescue tender (LFRT), dua lori tangki air, sebuah jentera emegency medical rescue services (EMRS), tiga buah rapid intervention motocycyle (RIM) dan dua buah utiliti pelbagai guna.
Operasi pemadaman kebakaran tamat sepenuhnya pada 9.21 pagi.
Dalam kejadian berasingan di perkampungan atas air di Kampung Panji, Semporna, 12 buah rumah musnah dalam kebakaran yang berlaku pada 6.07 petang semalam.
Sebaik menerima panggilan kecemasan, enam anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna dikejarkan ke lokasi kejadian dengan menggunakan sebuah jentera FRT, sebuah jentera EMRS dan sebuah kenderaan utiliti.
Operasi pemadaman ini turut dibantu oleh 14 orang anggota pasukan Bomba dan Penyelamat Atas Air Semporna yang menggunakan sebuah bot aluminium, sebuah bot kevlar serta dibantu oleh tujuh anggota bomba dari BBP Kunak.
Kebakaran membabitkan kawasan seluas 0.2 ekar itu memusnahkan 12 buah rumah atas air termasuk sebuah kedai runcit.
Operasi tamat sepenuhnya pada 9.30 malam semalam dan kebakaran ini mengakibatkan 37 orang penduduk setinggan ini kehilangan tempat tinggal.- UTUSAN ONLINE