BALIK PULAU: Kerja-kerja membersih dan memotong pokok di sekeliling kediaman pasangan kembar orang kurang upaya (OKU) pembelajaran di Kampung Sulup, Teluk Kumbar di sini selesai dalam tempoh lima jam semalam.
Operasi pembersihan yang bermula pukul 8.30 pagi itu diketuai wakil dua syarikat pemaju Mudik Emas Sdn. Bhd. dan Express Residency Services serta usahawan di negeri ini, Hussein Abdullah dan rakan kongsinya, Dr. Shaik Farid Shaik Daud.
Turut membantu membersihkan kawasan kediaman berkenaan ialah barisan jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bukit Gemuroh.
Hussein berkata, pihaknya berasa lega apabila niat murni membantu pasangan adik beradik OKU, Sazali Mohamad Hussain dan adiknya, Suhaimi, 35, tinggal dalam persekitaran bersih, selesa dan selamat itu akhirnya terlaksana.
Menurutnya, usaha membersihkan kawasan kediaman peninggalan arwah ibu bapa kembar terbabit dilakukan selepas berita mengenai kisah kehidupan mereka disiarkan Utusan Malaysia baru-baru ini.
“Saya gembira apabila dapat menunaikan hasrat pasangan adik beradik itu yang sebelum ini meluahkan perasaan bimbang sekiranya ditimpa pokok besar berhampiran rumah mereka ketika hujan lebat serta angin kuat.
“Bukan itu sahaja, mereka juga ada menyatakan kerisauan akan keselamatan diri selepas kediaman itu pernah dimasuki reptilia berbisa seperti ular senduk,” katanya di sini.
Beliau memberitahu, kerja-kerja mengangkut sampah serta dahan pokok itu menggunakan perkhidmatan lori dengan muatan tujuh tan secara berulang-alik.
“Melihat keadaan mereka yang tinggal dengan bapa saudara yang tidak bekerja begitu menyentuh perasaan selain dikatakan terpaksa menagih simpati orang ramai dengan meminta memberi makanan serta wang setiap hari.
“Saya cuba membantu mereka dengan menyalurkan bantuan makanan setiap bulan demi kemudahan dua beradik tersebut,” ujarnya.
Sementara itu, Sazali yang mengalami masalah pertuturan kurang lancar turut menyatakan kegembiraan dengan bantuan yang diberikan.
“Saya tak dak (tiada) duit nak (hendak) bayar upah kepada mereka. Hanya ucapan terima kasih sahaja kepada mereka yang mai (datang) membantu,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE