24 rakyat Indonesia didenda RM2,000 kerana berhimpun ketika jamuan Aidiladha - Utusan Malaysia

24 rakyat Indonesia didenda RM2,000 kerana berhimpun ketika jamuan Aidiladha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELAYANG: Gara-gara berhimpun sewaktu jamuan hari raya Aidiladha di sebuah rumah minggu lalu, seramai 24 lelaki warganegara Indonesia masing-masing didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Nor Hafizah Rajuni menjatuhkan hukuman denda itu terhadap mereka selepas kesemuanya mengaku bersalah atas  pertuduhan yang dikenakan.

Sekiranya jumlah denda itu gagal dibayar, mereka boleh dipenjara selama tiga bulan. Denda itu dijelaskan.

Mengikut pertuduhan, mereka yang berusia antara 21 dan 47 tahun didapati melanggar arahan Ketua Pengarah Kesihatan dengan berkumpul tanpa kebenaran pihak berkuasa di sebuah unit rumah kedai Jalan SU 10 Taman Selayang Utama Batu Caves di sini pukul 10 pagi, pada 20 Julai lalu.

Berikutan itu, mereka didakwa melanggar Peraturan 10(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 P.U (A) 293/2021.

Peraturan itu berkuat kuasa mulai 5 Julai lalu dan boleh mereka yang melanggarnya boleh dihukum di bawah Peraturan 17(1) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi kesalahan itu ialah denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu semasa prosiding kesemua tertuduh memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan.  Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Khairunnisak Hassni  memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira mereka berkumpul pada waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain keadaan rumah yang sempit.

Sementara itu empat lagi tertuduh berusia 24 hingga 36 tahun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama dan mahkamah menetapkan 7 Oktober ini bagi sebutan kes.

KOSMO! Online 20 Julai lalu melaporkan, kegembiraan 30 rakyat asing dan seorang wanita tempatan yang mengadakan jamuan hari raya, bertukar suram apabila  kediaman itu diserbu polis hasil maklumat penduduk berdekatan.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya