22 kilang dikompaun di Klang Utara - Utusan Malaysia

22 kilang dikompaun di Klang Utara

BEBERAPA keping gambar dikongsikan IPD Klang Utara ketika menjalankan Op Patuh dalam kawasannya di Klang, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Sebanyak 22 buah kilang di sekitar daerah ini dikompaun oleh polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara sejak bermulanya Operasi (Op) Patuh pada 2 Julai lalu.

Ketua Polisnya, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh berkata, pihaknya telah mengambil maklum mengenai hantaran akaun seorang pengguna Facebook yang dikenali sebagai Adly Hasry.

“Pihak polis bersama Majlis Perbandaran Klang (MPK) pada hari ini telah mengadakan operasi di sekitar Jalan Teratai (seperti yang diuar-uarkan Adly Hasry).

“Kita juga telah menyita dua buah gerai yang beroperasi tanpa lesen serta mengeluarkan 10 surat saman dalam sekatan jalan raya (SJR) di lokasi sama,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Kelmarin, Adly telah membuat satu siaran di dalam akaun Facebook kumpulan Penduduk Meru & Kapar dengan mengatakan pekan Meru, Klang ibarat ibu negara Bangladesh, Dhaka.

Dalam posting sama, dia turut memuat naik tujuh keping gambar yang dimiliki salah sebuah agensi berita di negara ini.

Berhubung 22 buah kilang yang dikompaun pihaknya, Nurulhuda berkata, jumlah kompaun dikenakan kepada semua premis tersebut sebanyak RM303,500.

“Lapan daripadanya telah diarahkan tutup kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 18(1)(f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Secara keseluruhan, kita telah memeriksa 92 buah kilang dalam tempoh terbabit,” katanya.

Sekiranya terlihat ketidakpatuhan oleh mana-mana individu atau pihak sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Diperkenalkan (PKPD) di daerah itu, Nurulhuda meminta orang ramai untuk segera menghubungi pihaknya di talian 03-3290 2222 supaya tindakan pantas boleh diambil. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya