OKU kutip sampah rumah ke rumah - Utusan Malaysia

OKU kutip sampah rumah ke rumah

WAN Ahmad Nabil memungut sampah dari rumah pelanggannya di Kampung Kutan Tengah, Tumpat semalam. - UTUSAN/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Kekurangan diri tidak menghalang lelaki orang kurang upaya (OKU) berdikari dengan menawarkan perkhidmatan mengutip sampah dari rumah ke rumah, demi kelangsungan hidup.

Wan Ahmad Nabil Wan Abdul Wahid, 30, dari Kampung Kutan Tengah, di sini tidak berasa malu melakukan pekerjaan itu demi menyara bapa, Wan Abdul Wahid Wan Mamat, 64, dan ibu Rohana Ngah, 54, bersama empat adik-adiknya selepas hilang punca pendapatan sebagai tukang urut tradisional sejak setahun lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, lelaki menghidap penyakit sawan itu memberitahu dia bekerja sebagai tukang urut tradisional sejak 12 tahun lalu namun tidak dapat meneruskan pekerjaan tersebut sejak pandemik Covid-19 mengancam negara.

“Saya buntu mencari pendapatan selepas tidak dapat mengurut. Saya pernah terfikir untuk menjual air minuman di tepi jalan, namun hasrat itu dilupakan kerana orang ramai tidak keluar rumah ketika ini.

“Akhirnya, saya mendapat idea untuk membuat khidmat memungut sampah dari rumah, kedai makan dan kedai runcit pada hujung tahun lalu. Saya rasa tiada lagi orang pernah membuat lagi pekerjaan ini di sini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Pada mulanya, Wan Ahmad Nabil hanya mendapat dua pelanggan dengan bayaran RM30 sebulan, namun kini berkembang 30 pelanggan di sekitar Kutan Tengah, Kutan Sungai, Kutan Hilir, Kutan Hulu dan Kampung Baru.

“Saya tolak rasa malu untuk melakukan pekerjaan ini asalkan ia halal. Saya menggunakan motosikal roda tiga untuk memungut sampah di setiap rumah dan akan dibuang ke tong sampah yang disediakan majlis daerah.

“Bagaimanapun, pendapatan saya terkesan bulan lalu apabila Kutan Tengah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). Keadaan itu menyebabkan saya tidak dapat keluar bekerja,” katanya.

Penduduk sekitar daerah ini yang memerlukan khidmat memungut sampah, boleh menghubungi Wan Ahmad Nabil di talian 017-946 9285.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya