Zambry dilantik Setiausaha Agung BN - Utusan Malaysia

Zambry dilantik Setiausaha Agung BN

ZAMBRY ABD. KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dilantik Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) yang baharu.

Perkara itu diumumkan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menerusi kenyataan dalam laman Facebook beliau malam ini.

Menurut Ahmad Zahid, perkara itu dipersetujui sebulat suara dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang diadakan secara maya malam ini.

“Mesyuarat juga sebulat suara bersetuju melantik Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man sebagai Pengerusi Jawatankuasa BN Perlis yang baharu,” kata Ahmad Zahid.

Zambry, bekas Menteri Besar Perak menggantikan Datuk Seri Ahmad Maslan yang juga Setiausaha Agung UMNO.

Ahmad memegang jawatan Setiausaha Agung BN berkuat kuasa serta-merta pada 5 Januari tahun lalu, menggantikan Tan Sri Annuar Musa yang sebelum itu dipecat daripada jawatan itu.

Azlan pula menggantikan Datuk Seri Shahidan Kassim yang juga Ahli Parlimen Arau.

Pada 24 April lalu, UMNO melantik Azlan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis yang baharu menggantikan Shahidan.

Ahmad Zahid juga memaklumkan mesyuarat secara maya malam ini dihadiri empat parti komponen BN iaitu UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Mesyuarat turut mendengar pembentangan laporan Mesyuarat Agung Tahunan dan Laporan Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2020. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya