GEORGETOWN: Kerajaan Pusat digesa mewartakan semua klinik kesihatan awam sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) untuk memastikan vaksin tersedia, mudah diakses dan mampu dimiliki seluruh rakyat khususnya di luar bandar.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, perkara itu bagi membolehkan sasaran imuniti kelompok melibatkan 80 peratus penduduk menjelang 31 Disember depan dapat dicapai dengan cepat dan lancar.
Menurutnya, ketika ini hanya terdapat sebanyak 382 PPV di seluruh negara yang jelas tidak mencukupi dan dapat memberikan vaksin dengan berkesan kepada 80 peratus daripada 32.75 juta penduduk termasuk bukan warganegara.
Disebabkan itu juga, tambah beliau, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bergerak perlahan dengan 2.4 juta orang atau 7.5% penduduk menerima dos pertama manakala 1.13 juta atau 3.5 peratus mendapat vaksinasi penuh dua dos.
“Mengubah klinik kesihatan menjadi PPV juga akan membantu memperluas jangkauan dan akses vaksinasi ke kawasan luar bandar.
“Banyak yang tinggal di kawasan pedalaman atau luar bandar terutama di Sabah dan Sarawak menghadapi masalah logistik untuk pergi ke PPV yang terletak jauh dari rumah mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Gua Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan, Bagi Pulau Pinang jangkaan bagi vaksinasi untuk selesai di negeri ini menjelang September oleh kerajaan Pusat juga adalah tidak realistik.
Ini kerana jelasnya, kadar vaksinasi Pulau Pinang adalah yang keempat terendah dalam negara iaitu pada 8.14 peratus, hanya lebih tinggi daripada Sabah, Selangor dan Johor.
Jelasnya, satu-satunya harapan untuk mencapai sasaran bagi menyelesaikan vaksinasi pada September depan di Pulau Pinang bukan hanya bergantung kepada bekalan vaksin, tetapi juga kepada penambahan PPV daripada 11 buah yang ada ketika ini.
“Kurangnya keyakinan dan defisit kepercayaan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan memastikan pemberian vaksin dengan cepat dan lancar, mungkin adalah sebab mengapa Selangor dan Johor berusaha untuk membeli bekalan vaksin mereka sendiri,” katanya. -UTUSAN ONLINE