PETALING JAYA: Kementerian Wilayah Persekutuan diharap supaya tidak mengenepikan penduduk kawasan Parlimen Segambut dalam Program Ujian Saringan Percuma Covid-19.
Dalam surat untuk Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa itu, penduduk-penduduk daripada 59 kawasan di Segambut kesal tidak diberi hak sama rata dengan rakyat negeri itu yang lain.
“Penduduk Kawasan Parlimen Segambut kesal mengenai pengecualian kawasan kami daripada Program Ujian Saringan percuma COVID-19 yang dianjurkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan.
“Kami sebagai pembayar cukai dan selaku wakil Persatuan-persatuan Penduduk Kawasan Parlimen Segambut menuntut agar Kementerian Wilayah Persekutuan memastikan penduduk-penduduk di kawasan Parlimen Segambut tidak dikecualikan daripada program itu,” katanya dalam surat itu.
Selain itu, mereka turut berharap supaya mereka juga tidak akan dikecualikan daripada Program Vaksinasi Covid-19 Bergerak.
Sebelum ini, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) melaksanakan dua projek rintis iaitu Saringan Komuniti Bersasar Covid-19 (RTK-Ag) serta Vaksin Bergerak Trak MyMedic@Wilayah Prihatin.
Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh juga lantang menyuarakan perkara ini supaya mendapat perhatian menteri berkaitan.
“59 Persatuan Penduduk meminta supaya Segambut ditambah dalam senarai lokasi saringan percuma Covid-19 di Kuala Lumpur.
“Masih ada persatuan penduduk yang mahu menambah nama mereka kerana ini merupakan satu keperluan penting untuk melawan Covid-19,” katanya menerusi akaun Twitter peribadinya. – UTUSAN ONLINE