Warga emas ditemukan mati dalam rumah - Utusan Malaysia

Warga emas ditemukan mati dalam rumah

ANGGOTA bomba membuka pintu sebuah rumah yang didiami seorang warga emas wanita yang ditemukan mati di Pangsapuri Taman Sri Setanggi, Johor Bahru di Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Bau busuk yang menyelubungi sehingga ke rumah jiran tetangga membongkar kematian seorang warga emas wanita di dalam sebuah rumah di Pangsapuri Taman Sri Setanggi, di sini hari ini. 

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd. Zain berkata, wanita berusia 61 tahun yang tinggal seorang diri itu ditemukan mati di dalam sebuah bilik beberapa yang lalu. 

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan daripada jiran mangsa pada pukul 8.45 pagi yang mendakwa terhidu bau busuk yang datangnya dari dalam rumah terbabit.

Katanya, setibanya anggota polis di lokasi kejadian mendapati pintu hadapan rumah terkunci dan tidak boleh dibuka.

“Pihak polis menghubungi Bomba untuk mendapatkan bantuan bagi memecahkan kunci pintu rumah. Setelah berjaya dibuka, pemeriksaan menjumpai mangsa berada di bilik tidur sudah tidak bergerak lagi.

“Mayat wanita dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini dan pihak kesihatan mengesahkan warga emas itu telah meninggal dunia antara empat hingga lima hari yang lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Mohd. Padzli berkata, kakak ipar mangsa mengesahkan mangsa yang masih bujang dan tinggal seorang diri di rumah berkenaan.

Katanya, dia juga memaklumkan mangsa tidak ada sejarah menghidap penyakit kronik melainkan mempunyai masalah darah tinggi. 

“Pihak hospital akan melakukan ujian saringan Covid-19 dan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” katanya.

Sementara itu, seramai 10 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin terlibat dalam kes tersebut. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya