Wanita OKU cekal jaga kakak terlantar - Utusan Malaysia

Wanita OKU cekal jaga kakak terlantar

Rashidah Nanyan (kiri) setia menjaga kakaknya, Siti Eshah Nanyan, yang terlantar akibat sakit kaki ketika berada di rumah mereka di Kampung Tok Weng
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING :  Seorang wanita orang kelainan upaya (OKU) tetap tabah dan bersabar apabila dia perlu menjaga kakaknya yang uzur dan terlantar setelah kematian bapa mereka dua tahun lalu.

Rashidah Nanyan, 52, berkata, sebelum ini dia menjaga bapa, Nanyan Abdullah, selama beberapa tahun kerana penyakit strok sebelum meninggal pada tahun 2018.

“Kini sekali lagi saya berkorban menjaga kakak, Siti Eshah Nanyan, 63, pula yang terlantar kerana sakit lutut, darah tinggi, buah pinggang dan jantung tersumbat.”

“Saya juga tidak begitu kuat untuk berjalan kerana kecacatan di bahagian kaki dan hanya mampu membantunya menolak kerusi roda peninggalan arwah bapa apabila kakak hendak ke tandas.” ujarnya.

Katanya lagi, dia juga tidak mampu mengangkat barang yang berat atau melakukan kerja-kerja berat, namun nasibnya baik kerana masih mampu masak makanan yang ringkas untuk dimakan mereka berdua setiap hari.

Untuk perbelanjaan harian, dia berjimat mengunakan wang bantuan bulanan RM300 yang diperolehi dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Siti Eshah pula berkata, dia mengidap penyakit darah tinggi sejak enam tahun lalu manakala sakit lutut yang serius dialaminya sejak penghujung tahun lalu.

“Sebelum ini saya boleh berjalan dan bekerja di kedai makan tetapi sejak akhir-akhir ini tidak boleh berjalan kerana bengkak di kedua-dua belah lutut dan kaki.”

“Saya telah mendapatkan rawatan di Hospital Daerah Kulim tetapi keadaan sakit ini tidak berkurangan, nasib baik ada adik, dan dia menjaga saya dengan sempurna walaupun dirinya sendiri tidak sempurna seperti orang lain,” kata Siti Eshah.

Katanya lagi, dia pernah menerima bantuan perbelanjaan bulan daripada JKM pada tahun 2019, tetapi kini tiada lagi walaupun dia telah menghantar borang ke pejabat JKM untuk proses semula.

Dia juga menggunakan baki wang simpanan yang tidak seberapa itu selepas menjual tanah milik arwah suaminya, Hashim Mohd Arshad, yang meninggal dunia pada tahun 2015 untuk perbelanjaan harian mereka berdua.

Bagi mereka yang ingin membantu boleh menghubunginya di talian 017-5148165. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya