Wanita Malaysia lebih kuat merokok berbanding 16 negara lain? - Utusan Malaysia

Wanita Malaysia lebih kuat merokok berbanding 16 negara lain?

PEROKOK kebiasaannya dikaitkan dengan golongan lelaki berbanding wanita. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perokok dalam kalangan wanita Malaysia kini mengatasi jumlah perokok wanita di 16 buah negara lain.

Demikian laporan terkini kajian yang dilaksanakan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), agensi sejagat di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang berpusat di Geneva, Switzerland.

Hasil penyelidikan yang dilakukan badan antarabangsa itu mendapati, sebanyak 1.4 peratus daripada 15.92 juta wanita Malaysia merupakan perokok, sama ada jenis tegar atau ringan.

Angka itu tidak melibatkan pengguna peranti elektronik atau vape, sebaliknya hanya meliputi pelbagai produk tembakau mengandungi bahan kimia nikotin yang merangsang ketagihan.

Kadar yang dicatatkan di negara ini adalah setara di Maghribi, namun, tinggi sedikit berbanding perokok wanita di Vietnam dan Uzbekistan yang masing-masing merekodkan 1.3 peratus.

Ia juga lebih tinggi daripada Nigeria yang hanya mencatatkan kadar perokok dalam kalangan wanita di negara miskin benua Afrika itu adalah 1.1 peratus dan Oman pula 1.0 peratus.

WHO menerusi laporan ilmiah berkenaan turut menyenaraikan 12 buah negara di dunia yang memaparkan perokok wanita di bawah kadar satu peratus daripada keseluruhan penduduk.

Negara-negara berkenaan ialah Cameroon dan Barbados dengan masing-masing 0.9 peratus, Senegal (0.7 peratus), Iran (0.7 peratus), Bangladesh (0.7 peratus) serta Habsyah sebanyak 0.5 peratus.

Juga Azerbaijan pada kadar 0.4 peratus, Lesotho (0.4 peratus), Sri Lanka (0.4 peratus), Ghana (0.4 peratus), Mesir (0.3 peratus), dan paling rendah ialah Niger dengan hanya kadar 0.2 peratus.

Bagaimanapun di peringkat rantau Asia Tenggara, kadar perokok wanita di Malaysia adalah kedua terendah selepas Vietnam, diikuti Thailand (2.3 peratus) dan Kemboja (2.8 peratus).

Brunei pula pada kadar 3.1 peratus, Indonesia (3.6 peratus), Singapura (5.0 peratus), Myanmar (6.4 peratus), Filipina (8.5 peratus) dan paling hebat wanita penghisap rokok di Laos adalah pada kadar 9.1 peratus.

Data peringkat antarabangsa ini menunjukkan negara yang wanitanya paling kuat merokok ialah Nauru, sebuah pulau kecil di tengah Lautan Pasifik dengan merekodkan kadar 52 peratus.

Secara keseluruhannya, negara yang paling tinggi perokok berbanding jumlah populasinya ialah Kiribati, sebuah gugusan 33 pulau kecil juga di Lautan Pasifik dengan kadarnya 52.4 peratus.

Ini diikuti pula dengan sembilan lagi negara dalam senarai kelompok tertinggi perokok di dunia iaitu Nauru, Greece, Serbia, Rusia, Jordan, Indonesia, Bosnia, Lubnan, Chile dan Latvia.

Malaysia berada di tangga ke-71 dengan kadar keseluruhan 22.2 peratus daripada 32.75 juta penduduknya; iaitu di atas Norway (22.25 peratus) tetapi di bawah Jepun (22.15 peratus).

Sepuluh negara dalam senarai keseluruhan kadar kurang perokok ialah Habsyah sebanyak 4.7 peratus, disusuli Panama, Ghana, Barbados, Ecuador, Nigeria, Benin, Niger, Uganda dan Eswatini. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya