JOHOR BAHRU: Warga emas yang berjaya mendapatkan janji temu untuk mendapatkan dos suntikan vaksin AstraZeneca dalam Fasa 2 Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di seluruh negeri ini bermula Isnin ini dinasihatkan hadir biarpun mengalami masalah kesihatan.
Wakil salah sebuah Organisasi Penjagaan Kesihatan, Dr. Adnan Sulaiman berkata, mereka boleh mẹmbuat penilaian kesihatan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini sebelum meneruskan langkah seterusnya.
Beliau yang juga pegawai perubatan dari Kumpulan Perubatan Penawar berkata, penilaian tersebut merupakan tugas doktor yang ditempatkan di stesen ketiga PPV terbabit.
“Stesen itu dikendalikan oleh 10 orang doktor yang juga berperanan untuk memberikan kaunseling serta mendapatkan persetujuan peserta sebelum diberikan dos suntikan vaksin.
“Jangan sorokkan apa-apa daripada doktor sekiranya tidak sihat, menghidap penyakit atau mempunyai alahan. Selain itu, jangan malu sekiranya memerlukan bantuan, ramai yang boleh membantu.
“Jadi, jika ada penerima yang tidak mahu hadir disebabkan faktor kesihatan, itu terpulang pada mereka. Tetapi, sebaik-baiknya mereka datang untuk dibuat penilaian sama ada perlu atau tidak diberikan suntikan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dr. Adnan berkata, PPV di Persada Johor menempatkan enam bilik dan 12 jururawat beserta pembantu bagi melakukan vaksinasi kepada peserta yang layak.
Katanya, setelah menerima suntikan vaksin, peserta akan ditempatkan di pusat observasi di mana mereka akan dinilai oleh doktor yang bertugas bagi melihat reaksi susulan antara 15 hingga 30 minit.
“Sebagai individu yang terlibat dalam program vaksinasi ini, kami berharap implementasi ini dapat dilakukan dengan baik dan berjalan lancar.
“Kami juga mengharapkan kehadiran hampir 100 peratus bagi program ini dengan melibatkan diri dalam usaha kerajaan mendapatkan imuniti berkelompok (herd immunity).
“Sila hadir kerana perkara ini sangat penting untuk kita kembali kepada cara hidup kita sebelum ini. Jika terlepas temu janji, terpaksa mendaftar semula dan menunggu lagi lama,” katanya.
Jelasnya, untuk tiga hari pertama bermula Isnin hingga Rabu ini, seramai 1,000 penerima akan menerima suntikan vaksin AstraZeneca, manakala hari-hari yang seterusnya sehingga 27 Julai ini melibatkan seramai 3,000 orang yang akan mendapatkan vaksin di PPV Persada Johor. -UTUSAN ONLINE