KANGAR: Jabatan Kesihatan negeri memberi keutamaan kepada institusi dan rumah orang-orang tua untuk program vaksin bergerak yang dimulakan sejak bulan lalu.
Setiausaha kerajaan negeri, Azman Mohd. Yusof berkata, Jabatan Kesihatan negeri mempunyai satu unit vaksin bergerak sejak program vaksinasi bermula.
Katanya, seramai 238 warga emas dan petugas dari institusi terlibat menerima suntikan vaksin melalui program tersebut sejak 18 Mei lalu.
Menurutnya, institusi yang terlibat adalah Pusat Penjagaan Rumah Sejahtera Kaki Bukit seramai 18 orang; Pusat Penjagaan Rumah Sejahtera Baitul Hanan; Simpang Empat (30 orang); Rumah Seri Kanangan, Jejawi (161 orang); Pusat Penjagaan Rumah Sejahtera Batu Bertangkup (22 orang) dan Bengkel Murni Batu Bertangkup (tujuh orang).
“Proses suntikan vaksin di negeri ini juga berjalan lancar dan teratur mengikut perancangan melibatkan dua buah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan 2020, Kangar dan Dewan Seri Melati, Beseri, manakala satu lagi PPV di fasiliti Kementerian Kesihatan iaitu di Hospital Tuanku Fauziah (HTF).
“Secara keseluruhan, seramai 27,086 orang telah disuntik dos satu dan 18,324 bagi dos 2 bagi vaksin jenis Pfizer sehingga kini. Manakala, seramai 2,772 orang telah menerima dos satu dan 635 orang telah melengkapkan dos kedua untuk vaksin jenis Sinovac,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, beliau memberitahu, sehingga kini, sudah 27 peratus atau 50,825 orang penduduk di negeri ini telah menerima suntikan vaksin meliputi 16.9 peratus penerima dos pertama dan 10.1 peratus yang lengkap menerima dua dos suntikan.
Tambahnya, kapasiti pemberian vaksin harian sekitar 1,995 dos bagi keseluruhan tiga PPV yang ada di negeri ini.
“Dalam pada itu, kapasiti katil bagi pesakit Covid-19 di HTF sehingga hari ini adalah pada 50.9 peratus manakala di Pusat Rawatan Risiko Rendah Covid-19 di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM), Kangar pula adalah 16.6 peratus,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE