UPKK 2020 dan 2021 secara serentak diteruskan - Utusan Malaysia

UPKK 2020 dan 2021 secara serentak diteruskan

ABDUL AZIZ JUSOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) bagi calon tahun 2020 dan juga 2021 dijangka dilaksanakan secara serentak tahun ini.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, ia meliputi pelaksanaan ujian bertulis akan mengikut jadual dan perancangan yang ditetapkan.

“Ia dengan mematuhi sepenuhnya Garis Panduan Pengoperasian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) serta Sekolah Agama dalam Norma Baharu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Langkah penerusan UPKK itu turut mendapat kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 9 Jun lalu berdasarkan pandangan dan ulasan daripada pihak Kementerian Kesihatan.

Sebelum itu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin di ibu negara pada 28 April lalu mengumumkan pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mulai tahun ini.

Sebaliknya, peperiksaan kebangsaan bagi murid tahun enam itu yang diperkenalkan sejak 1988 lalu bagi menggantikan Penilaian Darjah Lima, ditukar kepada Pentaksiran Bilik Darjah.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, Jakim mengambil perhatian dan memahami keresahan ibu bapa berkaitan pelaksanaan UPKK pada kali ini dalam situasi semasa wabak Covid-19.

“Namun, Jakim optimis usaha kerajaan menangani penularan pandemik itu khususnya aspek kesihatan murid dan petugas peperiksaan serta bersedia sebarang kemungkinan,” katanya.

Ini dilakukan melalui kerjasama pelbagai agensi dalam penyediaan pelan tindakan sewajarnya demi memastikan UPKK berjalan lancar selain penilaian juga dibuat melalui beberapa kaedah.

Dua subjek penilaian amali iaitu subjek Solat dan Penghayatan Cara Hidup Islam ujar beliau, telah bermula awal takwim persekolahan 2021 selaras Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ujar Abdul Aziz, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) turut diambil kira oleh guru ketika operasi sekolah ditutup selain ujian bulanan serta aktiviti dalam dan luar bilik darjah.

Bagi subjek Al-Quran meliputi ujian lisan tadarus dan tilawah, hafazan dan tafsir pula katanya, ia akan dinilai guru masing-masing yang dijadualkan pada sepanjang September depan.

“Lima mata pelajaran bertulis iaitu Ulum Syariah (Aqidah dan Ibadah), Sirah, Jawi dan Khat, Adab serta Lughatul Quran bakal dilaksanakan bermula dari 4 hingga 7 Oktober ini,” jelasnya.

Beliau menambah, UPKK masih relevan dan terbukti menerusi pertambahan calon setiap tahun yang menunjukkan kesedaran bagi menjadikan KAFA sebagai pengukuhan ilmu Islam.

Peperiksaan itu malah dijadikan sokongan untuk kemasukan ke 60 buah sekolah menengah kebangsaan agama di bawah Kementerian Pendidikan yang jadi pilihan ibu bapa ketika ini.

Tidak ketinggalan keputusan UPKK boleh dijadikan kelebihan untuk kemasukan ke 12 buah sekolah berasrama penuh integrasi dan tiga buah sekolah menengah agama persekutuan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya