Unit Bergerak Vaksinasi Covid-19 Padang Terap pertama di Malaysia - Utusan Malaysia

Unit Bergerak Vaksinasi Covid-19 Padang Terap pertama di Malaysia

PETUGAS kesihatan membawa peralatan dan vaksin untuk melakukan proses suntikan vaksin kepada golongan warga emas di Pusat Jagaan Rumah Orang Tua Bukit Bethel, Kuala Nerang, Padang Terap, hari ini. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Seramai 14 warga emas yang tinggal di Madrasah Ahmadiah Pondok Pak Teh Mat dan Rumah Orang Tua Islam Tanpa Waris di Kampung Nyior, Kuala Nerang di sini menjadi kumpulan pertama di daerah ini yang menerima suntikan vaksin daripada Unit Bergerak Vaksinasi Covid-19 Padang Terap, hari ini.

Warga emas terbabit yang berusia antara 60 hingga 85 tahun menerima suntikan vaksin tersebut di surau baharu Madrasah Ahmadiah Pondok Pak Teh Mat pada pukul 10 pagi.

Pegawai Daerah Padang Terap, Md. Shuhaime Abdul Rahman berkata, Unit Bergerak Vaksinasi Covid-19 Padang Terap itu merupakan yang pertama ditubuhkan di negara ini.

Menurutnya, penubuhan unit bergerak vaksinasi itu menyasarkan golongan warga emas yang menghadapi kesukaran untuk hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

“Saya percaya, unit bergerak vaksinasi itu dapat membantu mempercepatkan proses suntikan vaksin kepada seramai 49,000 penduduk di daerah ini yang layak menerima suntikan vaksin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau operasi Unit Bergerak Vaksinasi Covid-19 Padang Terap di Pusat Jagaan Rumah Orang Tua Bukit Bethel di Kuala Nerang di sini, hari ini.

Seramai 14 warga emas dan lapan sukarelawan di pusat jagaan rumah orang tua itu turut menerima suntikan vaksin daripada unit bergerak vaksinasi tersebut.

Unit bergerak vaksinasi berkenaan dilancarkan oleh Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid di sini semalam.

Md. Shuhaime memberitahu, unit bergerak vaksinasi itu dianggotai oleh petugas kesihatan yang lengkap dari Jabatan Kesihatan Negeri Kedah.

“Kita menyasarkan seramai 3,000 warga emas di daerah ini akan menerima suntikan vaksin daripada unit bergerak vaksinasi tersebut sehingga Ogos ini,” ujarnya.

Beliau menambah, setakat ini, seramai 18,000 penduduk di daerah ini telah mendaftar sebagai penerima suntikan vaksin itu menerusi aplikasi MySejahtera dan sebanyak 10 peratus daripada jumlah penduduk di daerah ini yang layak telah menerima suntikan berkenaan.

Seorang warga emas yang tinggal di Madrasah Ahmadiah Pondok Pak Teh Mat, Zakaria Hassan, 71, berkata, dia lega apabila selesai melakukan suntikan vaksin dos pertama yang dilakukan oleh unit bergerak vaksinasi, hari ini.

Menurutnya, dia sebelum ini sememangnya berhasrat untuk melakukan suntikan vaksin dalam tempoh yang segera memandangkan wabak Covid-19 semakin meningkat di negara ini.

“Alhamdulillah, saya selamat menerima suntikan vaksin dos pertama hari ini dan tidak merasa sakit ketika disuntik. Saya difahamkan dos kedua pula akan diterima pada 23 Jun ini,” katanya.

Othman Omar, 73, yang juga tinggal di Madrasah Ahmadiah Pondok Pak Teh Mat berkata, dia tidak merasa takut untuk mendapatkan suntikan tersebut walaupun mempunyai penyakit darah tinggi sejak beberapa tahun lalu.

“Terima kasih saya ucapkan kepada petugas unit bergerak vaksinasi yang sudi hadir memberi suntikan kepada warga emas yang berada di sini.

“Kalau tidak, saya dan rakan-rakan di sini terpaksa pergi dan beratur di PPV berdekatan,” katanya.

Sariah Chik, 78, pula berkata, dia yang tinggal di madrasah itu sejak tiga tahun lalu tidak merasa sebarang kesan sampingan selepas menerima suntikan tersebut walaupun mempunyai masalah kesihatan darah tinggi.

“Saya bersemangat untuk mendapatkan suntikan tersebut selepas melihat rakan-rakan yang lain begitu teruja disuntik,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya