UMNO Sabah mahu pergeseran politik dihentikan - Utusan Malaysia

UMNO Sabah mahu pergeseran politik dihentikan

BUNG MOKTAR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: UMNO Sabah menggesa semua pihak menghentikan segala pergeseran ideologi politik dan perebutan kuasa sekiranya persidangan Parlimen dibuka dalam tempoh darurat ini.

Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, ahli Parlimen kerajaan mahupun pembangkang perlu bersama-sama mencari jalan keluar daripada kemelut yang dihadapi tanpa mengherat rakyat yang sekian lama terbeban dengan pandemik Covid-19.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, titah Yang di-Pertua Agong Al-Sultan Abdullah Ri”ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah membenarkan Parlimen bersidang membuktikan Seri Paduka Baginda meletakkan sistem demokrasi berparlimen pada tahap yang tinggi.

“Keputusan ini membuktikan Agong mengutamakan prinsip keluruhan Perlembagaan dan ini selari dengan hasrat memelihara peranan semak dan imbang yang dimainkan oleh ahli-ahli yang berhormat dalam Dewan Rakyat dan Dewan Negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Bung Moktar, yang juga Menteri Kerja Raya ini berkata, keputusan tersebut dibuat setelah Agong memperhalusi semua pandangan pemimpin-pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan taklimat pakar daripada agensi-agensi kerajaan.

Justeru itu, setiap cabang sistem demokrasi negara perlu akur kepada keputusan Agong tersebut, begitu juga kerajaan selaku badan eksekutif.

“Semua ahli Parlimen perlu mengambil ruang dan peluang ini untuk kembali bersidang. Bahaslah secara serius serta objektif untuk mencari  jalan keluar daripada segala kemelut ekonomi dan kesihatan awam yang sedang kita hadapi ini,” katanya.

Bagaimanapun kata beliau, ini adalah peluang untuk semua ahli Parimen membuktikan serta mengembalikan kekuatan Parlimen sebagai medan sebenar menyuarakan masalah rakyat di peringkat akar umbi.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Kinabatangan ini secara peribadi menyambut baik titah Yang di-Pertuan Agong dan berharap demokrasi berparlimen negara akan terus matang agar rakyat mendapat manfaat yang sewajarnya.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya