PASIR SALAK: Kerajaan tidak perlu takut terhadap kemungkinan usul undi tidak percaya akan dibawa jika sidang Parlimen dibuka.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, ini kerana UMNO dan parti pembangkang sudah membuat kenyataan tidak akan membawa usul itu kerana mahu memberi tumpuan terhadap isu Covid-19.
“Kerajaan tidaak perlu takut tentang kemungkinan undi tidak percaya kerana UMNO telah buat kenyataan kita tidak berminat untuk mengadakan dan sebab hendakk tumpu pada masalah Covid-19 sahaja.
“Begitu juga kenyataan-kenyataan yang telah dibuat oleh pemimpin pembangkang PKR, DAP dan Amanah, mereka juga beri jaminan tidak akan bawa usul undi tak percaya terhadap kerajaan, jadi apa nak takut, semua sudah bagi jaminan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menyampaikan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) kepada petugas barisan hadapan di Langkap hari ini.
Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak berkata, jika Parlimen dibuka seperti yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ria’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, banyak pandangan yang boleh dimanfaatkan untuk mengatasi Covid-19.
Menurutnya, namun kerana Parlimen tidak dibuka disebabkan darurat, apa juga tindakan yang diambil seperti pembukaan pusat saringan dan vaksinasi adalah idea kerajaan.
Katanya, sebaliknya wakil rakyat tidak dapat memainkan peranan tetapi hanya boleh melihat dan memberi sumbangan keperluan kepada rakyat seperti bekalan makanan.
“Rakyat tentunya banyak idea, pandangan yang boleh diberikan untuk membantu kerajaan mengambil tindakan yang lebih berkesan untuk hadapi Covid-19 dan masalah kelangsungan hidup rakyat yang perit disebabkan Covid-19.
“Namun buat masa ini, apa juga tindakan yang diambil seperti nak buka pusat saringan, nak bawa orang pergi dapatkan saringan, swab test dan vaksin semuanya idea pihak kerajaan. Wakil rakyat duduk, tengok saja dan hantar barang makan, itu saja yang boleh dibuat, lain kita tak boleh sebab di bawah darurat ini kita tak ada peranan.
“Jika Parlimen segera dibuka seperti yang dititahkan tuanku, kita rasa banyak idea, cadangan yang boleh dimanfaatkan untuk segerakan segala tindakan, kaedah-kaedah yang boleh diambil untuk mengatasi covid, kita harap kerajaan segerakan Parlimen dibuka,” katanya. – UTUSAN ONLINE