LIPIS: Bunyi riuh rendah ayam terjawab apabila pemiliknya menemukan seekor ular sawa sepanjang dua meter dan dianggarkan seberat 20 kilogram berada dalam reban haiwan ternakan itu di rumahnya di Seberang Bandar Baru, Kuala Lipis hari ini.
Pemiliknya selepas itu segera menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Lipis untuk bantuan menangkap reptilia berkenaan.
Lima anggota APM Lipis terpaksa berhempas pulas lebih kurang 15 minit sebelum berjaya menangkap reptilia itu, kira-kira pukul 7.30 pagi.
Pegawai APM Daerah, Mohd. Azhar Yusof berkata, ular sawa itu ditemukan dalam reban ayam milik seorang penduduk dikenali sebagai Mohd. Bakri yang keluar rumah pada waktu pagi sebelum segera menghubungi bilik gerakan untuk mendapatkan bantuan.
“Ketika anggota tiba, ular itu masih berada dalam reban dan dianggarkan baharu sahaja berjaya masuk memandangkann tidak ada seekor pun yang hilang ditelan ular sawa itu.
“Dengan menggunakan pengepit dan alat khas menangkap ular, semua anggota yang terlatih itu dengan mudah berjaya menangkap haiwan tersebut dalam masa yang singkat,” katanya di sini.
Menurut Mohd. Azhar, ketika kejadian terdapat tiga penghuni di rumah dan bersyukur kerana tiada mangsa yang cedera dilaporkan.
“Kita bawa balik ular sawa itu namun telah dilepaskan ke habitat asalnya di kawasan hutan simpan berdekatan,” katanya. -UTUSAN ONLINE