UiTM pandang serius dakwaan gangguan seksual - Utusan Malaysia

UiTM pandang serius dakwaan gangguan seksual

MPP UiTM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Universiti Teknologi MARA (UiTM) memandang serius dakwaan gangguan seksual dilakukan seorang tenaga pengajar terhadap beberapa pelajar yang tersebar dalam media sosial baru-baru ini.

Ketua Perhubungan Awam, Media dan Protokol Jabatan Komunikasi Korporat UiTM,Nora Noordin berkata, UiTM juga telah mengarahkan jawatankuasa siasatan dalaman untuk meneliti dan menjalankan siasatan terperinci terhadap segala dakwaan yang bersangkutan.

“UiTM sama sekali tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana staf yang mengambil kesempatan atau menyalahguna kuasa mereka sebagai staf kerana UiTM amat mengutamakan keselamatan, kebajikan, dan kualiti seluruh warganya, khususnya dalam mengamalkan budaya integriti dan profesional yang tinggi.

“Orang ramai, terutama ibu bapa tidak perlu bimbang kerana kebajikan, keselamatan dan hal ehwal para pelajar adalah keutamaan universiti dan tindakan tegas akan diambil terhadap sesiapa sahaja yang terlibat mengikut peraturan dan ketetapan universiti yang sedia ada,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, hangat diperkatakan di media sosial apabila beberapa pelajar UiTM Dengkil mendakwa seorang pensyarah Pusat Asasi (CFS) melakukan gangguan seksual.

Memetik Says.com, lebih 15 mangsa menghubungi mereka serta menyertakan paparan skrin mesej perbualan mereka dengan pensyarah tersebut yang didakwa melakukan gangguan seksual.

Difahamkan, isu tersebut timbul apabila netizen membincangkan mengenai melanjutkan pelajaran ke universiti terutama pelajar yang baru sahaja mendapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.

Ketika membincangkan mengenai melanjutkan pelajaran di CFS UiTM Dengkil, beberapa netizen memberi amaran untuk mengelakkan diri daripada seorang pensyarah ini namun tidak disebutkan nama.

Mengulas lanjut Nora berkata, UiTM komited untuk menangani segala dakwaan yang dibangkitkan dan telah pun membuat laporan polis dan aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi memudahkan lagi proses penyiasatan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya