UiTM kekal kedudukan 651-700 QS World University Ranking - Utusan Malaysia

UiTM kekal kedudukan 651-700 QS World University Ranking

Roziah Mohd. Janor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Universiti Teknologi MARA (UiTM) berjaya mempertahankan kedudukannya di band 651-700 daripada keseluruhan 1,300 buah universiti seluruh dunia yang disenaraikan di bawah penarafan Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings 2022 yang diumumkan semalam.

Penarafan tersebut meletakkan UiTM dalam kalangan 50 peratus universiti terbaik dunia yang menunjukkan peningkatan sebanyak 5 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Menurut Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa yang menjalankan fungsi Naib Canselor UiTM, Prof. Ts. Dr.Roziah Mohd. Janor, UiTM juga adalah antara tiga universiti tempatan yang berjaya mengekalkan prestasi dan kedudukan masing-masing selain Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) dan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR).

“Edisi pada tahun 2022 ini menunjukkan kejayaan UiTM meningkatkan skor keseluruhan yang lebih baik berbanding tahun lalu.

“Bagi kategori Reputasi Akademik UiTM mencatatkan peningkatan sebanyak 28 anak tangga ke kedudukan 338 berbanding 366 pada tahun lalu yang secara langsung menunjukkan kolaborasi yang bertambah baik dengan rakan sejawat dari universiti lain di dalam mahupun di luar negara,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Roziah berkata, pengekalan pada kedudukan tersebut menunjukkan kekuatan daya saing dan daya tahan warga universiti dalam mempamerkan kualiti dan kecemerlangan universiti.

Jelasnya bagi kategori Reputasi Majikan, UiTM yang berada pada tangga ke-200 di dunia kekal menjadi kekuatan utamanya seperti mana tahun-tahun sebelumnya.

“Walaupun pandemik Covid-19 menyebabkan berlakunya perubahan besar kepada kebanyakan norma harian, pencapaian ini memberi petanda bahawa pendekatan norma baharu yang dilaksanakan tidak menjejaskan operasi universiti dan jalinan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak samada pemegang taruh, rakan akademik mahupun industri.

“Meskipun pertemuan secara fizikal terbatas, pihak universiti telah memanfaatkan sepenuhnya infrastruktur dan teknologi yang ada bagi memastikan kelangsungan operasi dan aktiviti universiti tidak terjejas teruk, termasuk jalinan kersama bersama rakan-rakan strategik,”katanya.

Beliau menambah, pertemuan, persidangan, pengajaran dan pembelajaran secara maya yang dilaksanakan secara agresif dengan rakan-rakan strategik telah banyak membantu universiti untuk terus berdaya saing dan kekal dengan kualiti dan kecemerlangan akademik.

Jelasnya lagi, di sebalik pelbagai cabaran dan kekangan yang dihadapi akibat pandemik Covid-19, UiTM komited untuk menggerakkan segala inisiatif yang telah dirancang ke arah menjadi universiti terkemuka dunia menjelang tahun 2025. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya