Tujuh individu jalankan aktiviti pinjaman wang tanpa lesen didakwa - Utusan Malaysia

Tujuh individu jalankan aktiviti pinjaman wang tanpa lesen didakwa

JASWANT Singh (dua kiri) didakwa menjalankan aktiviti pinjaman wang tanpa lesen yang sah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor hari ini. - UTUSAN/NORHAYATI YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM : Tujuh individu termasuk seorang pesakit kanser mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini  hari ini atas kesalahan menjalankan aktiviti pinjaman wang tanpa lesen pada April dan Jun lalu.

Kesemua tujuh tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Rihaida Rafie.

Tertuduh, Jaswant Singh A/L Najara Singh yang merupakan pesakit kanser, asma dan sawan didakwa menjalankan aktiviti pinjaman wang tanpa lesen yang sah di Pangsapuri Sri Mutiara, Putra Heights, Subang Jaya pada 8 Jun.

Dalam prosiding berasingan, enam lagi tertuduh, Lee Boon Hui, 19; Sie Yong Soon, 21; Ngo Rui Sheng, 26; Tan Kang Ching, 26; Ling Kung Ming, 31 dan Yee Kok Wei, 38, dituduh bersama-sama seorang lagi yang masih bebas telah menjalankan aktiviti pinjaman wang sebanyak RM3,000 kepada seorang individu pada 28 April lalu.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Apartmen Laguna Biru Kundang, Petaling Jaya.

Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Reetha Parawa Karan manakala pembelaan diwakili peguam-peguam bela, Syah Azlan Abdullah dan Muhammad Syazwan Mohd. Salleh.

Mahkamah menetapkan jaminan RM15,000 terhadap Jaswant Singh manakala keenam-enam lagi tertuduh masing-masing jaminan sebanyak RM8,000 beserta syarat tambahan melapor diri di balai polis berhampiran dua kali sebulan.

Kes disebut semula pada 29 Julai dan 11 Ogos hadapan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya