Tuisyen percuma bantu murid di Jeli kuasai bahasa Inggeris - Utusan Malaysia

Tuisyen percuma bantu murid di Jeli kuasai bahasa Inggeris

MUSTAPA Mohamed melancarkan Kelas Tuisyen Bahasa Inggeris Parlimen Jeli secara dalam talian hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELI: Seramai 180 murid dari 21 sekolah di sekitar Parlimen Jeli berpeluang meningkatkan penguasaan serta kemahiran bahasa Inggeris masing-masing menerusi kelas tuisyen percuma secara dalam talian yang diadakan selama empat bulan.

Program anjuran bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Jeli, PPD Tanah Merah serta Pejabat Ahli Parlimen Jeli tersebut diadakan pada setiap Jumaat dan Sabtu, mulai hari ini hingga Oktober depan.

Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kumpulan pertama membabitkan 90 murid dari lapan sekolah memulakan kelas mereka hari ini manakala kumpulan kedua membabitkan 90 lagi murid dari 13 sekolah akan bermula esok.

“Kelas tuisyen ini diadakan bertujuan meningkatkan penguasaan serta kemahiran berbahasa Inggeris supaya para murid dapat menggunakannya sebagai bahasa kedua dalam pertuturan seharian.

“Di samping itu, penumpuan juga akan diberikan dari sudut tatabahasa dan penulisan,” katanya dalam majlis pelancaran kelas tuisyen bahasa Inggeris tersebut yang turut diadakan secara dalam talian, hari ini.

Sebahagian tetamu yang mengikuti pelancaran Kelas Tuisyen Bahasa Inggeris Parlimen Jeli oleh Mustapa secara dalam talian hari ini.

Mustapa yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) berkata, kelas tuisyen kali ini merupakan kesinambungan program Tuisyen Darul Falah kelolaan pihaknya sejak 1995 yang kini sudah mempunyai lebih 5,000 alumni.

Dalam masa sama kata beliau, satu kajian akan dibuat bagi mendapatkan maklum balas pelajar mengenai PdPR, penggunaan peranti seperti telefon pintar atau komputer riba serta liputan internet di kawasan mereka.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, usaha meningkatkan capaian internet di Jeli giat dilaksanakan selepas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) turun padang melakukan tinjauan di 13 lokasi bermasalah, Februari lalu.

“Antara tindakan segera ialah membina menara komunikasi di Kampung Rabbana yang telah pun siap disusuli tindakan-tindakan lain oleh SKMM di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela),” katanya.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya