MELAKA: Seorang pemandu treler membawa muatan minyak masak terpakai nyaris rentung apabila kenderaan berat itu terbakar di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Ayer Keroh arah utara di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang, pemandu berusia 57 tahun itu dikatakan terselamat kerana telah keluar sebelum ia terbakar untuk berehat di kawasan medan selera berhampiran.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh, Penolong Penguasa Bomba Mohamad Hamdan Sudin berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 2.39 petang dan sepasukan 16 pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi.
“Setiba di lokasi kita dapati sebuah treler membawa muatan minyak masak terpakai telah terbakar 70 peratus di bahagian hadapan kontena.
“Bagaimanapun pemandu terselamat kerana tidak berada dalam kenderaan itu dan kebakaran berjaya dikawal kira-kira 15 minit kemudian,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kebakaran dipercayai mula merebak di bahagian tayar hadapan treler berkenaan.
“Difahamkan pada awalnya pemandu tersebut cuba memadam kebakaran menggunakan alat pemadam api, namun tidak berjaya.
“Pasukan kami juga telah membantu pihak pengurusan Projek Lebuhraya Utusan Selatan (PLUS) membersihkan tumpahan minyak menggunakan serbuk kayu yang dibawa mereka,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintenden Hasan Basri Yahya ketika dihubungi memberitahu, pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian dan siasatan awal kebakaran dipercayai berpunca daripada masalah bearing tayar. – UTUSAN ONLINE