Treler klinik pergigian jadi PPV Bergerak pertama di NS - Utusan Malaysia

Treler klinik pergigian jadi PPV Bergerak pertama di NS

Treler Klinik Pergigian Kuala Pilah menjadi kemudahan PPV Bergerak pertama di negeri ini yang kini ditempatkan di Dewan Semai Budi, Felda Kepis, Kuala Pilah.-UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Sebuah treler Klinik Pergigian Kuala Pilah menjadi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bergerak pertama di negeri ini yang dilihat mampu mempercepatkan pemberian vaksin terutama dalam kalangan penduduk luar bandar di daerah ini.

Pegawai Daerah Kuala Pilah, Mohd. Faizal Abdul Manap berkata, PPV bergerak hasil inisiatif Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Pilah itu dijangka dapat memudahkan penduduk termasuk dari perkampungan orang Asli untuk mendapatkan vaksin.

Jelasnya, PPV bergerak itu kini berada di Dewan Semai Budi, Felda Kepis, dekat sini sehingga 18 Jun depan. 

“Ia merupakan program inisiatif pihak PKD dengan kerjasama Pejabat Pergigian serta Felda bertujuan memudahkan penduduk yang menetap di kawasan pedalaman dan perkampungan Orang Asli.

MOHD. Faizal Abdul Manap (kiri) ketika meninjau proses pemberian vaksin di PPV Bergerak di Dewan Semai Budi, Felda Kepis, Kuala Pilah hari ini. – UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE

“Treler Klinik Pergigian Kuala Pilah ini merupakan treler tunggal yang ada di negeri ini. Felda Kepis menjadi lokasi pertama PPV Bergerak dan kita jangka seramai 1,000 warga Felda Kepis akan menerima suntikan vaksin Sinovac selama lima hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Program Outreach PVV Bergerak Pertama Di Negeri Sembilan di Dewan Semai Budi Felda Kepis, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senaling, Datuk Adnan Abu Hasan; Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani dan Pegawai Kesihatan Daerah Kuala Pilah, Dr. Noraliza Radzali.

Mohd. Faizal menambah, pihaknya menyasarkan golongan warga emas, individu komorbid iaitu golongan berisiko akan menerima suntikan vaksin menerusi PPV Bergerak ini.

“Secara tidak langsung, masalah tempoh menunggu lama bagi menerima vaksin, warga emas tidak mengetahui kaedah mendaftar sebagai penerima vaksin di MySejahtera dan tiada pengangkutan ke PPV dapat diatasi apabila PPV Bergerak terus ke lokasi yang telah dikenal pasti,” katanya.

Sementara itu, tambah beliau, Felda Kepis terpilih menjadi lokasi pertama program berkenaan susulan dikesan mencatatkan kes positif Covid-19 yang tinggi iaitu sebanyak 124 jangkitan positif menerusi Kluster Jalan Seroja Kepis, selain penempatannya yang sukar bagi mendapatkan kemudahan pengangkutan awam.

“Lokasi seterusnya yang akan dikunjungi ialah di Padang Lebar dan Seri Menanti. Selepas ini, kita akan tumpu kepada 13 lokasi penempatan orang Asli seperti di Tengkek dan penempatan di kawasan pedalaman yang lain bagi memudahkan penduduk menerima vaksin,” katanya lagi.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya